Naib Presiden saluran SBS, Nam Seung Yong pada satu pengumuman di Seoul, Korea Selatan berkata, keenam-enam anggota asal program itu juga dikekalkan untuk musim baharu itu.

"Walaupun kami sudah mengumumkan pembubaran Running Man pada Disember lalu tetapi ada desakan daripada peminat yang membuatkan pihak produksi mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

"Pun begitu, sukar untuk mereka kekal dalam program ini memandangkan setiap anggotanya mempunyai komitmen lain," katanya.

Seung Yong bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai perancangan pihak SBS tentang musim baharu yang dimaksudkannya.

Dalam pada itu, Malaysia menjadi destinasi pilihan produksi Running Man pada siri jelajah mereka ke serata Asia yang bakal bermula Februari ini.

Selain negara ini yang dijangka lokasi terakhir penggambaran program itu, mereka turut memilih Taiwan, Macau, Singapura dan Thailand.

Running Man menampilkan Yoo Jae Suk, Ji Suk Jin, HaHa, Lee Kwang Soo, Kim Jong Kook dan Song Ji Hyo manakala seorang lagi anggota asal, Gary, menarik diri lebih awal dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian. - UTUSAN ONLINE