Ketika kejadian, Sandy hadir bersama beberapa individu lain termasuklah anggota polis dan ketua jiran tetangga di kawasan tersebut. Namun tuduhan yang dilemparkan kepada Tessa tidak dapat dibuktikan kerana ternyata aktres tersebut berseorangan di rumah.

“Pada pukul lima pagi saya terkejut Sandy datang ke rumah. Apabila pintu dibuka, dia terus masuk dalam keadaan marah-marah dan terus naik ke atas serta membuka semua pintu bilik untuk memastikan sama ada saya membawa lelaki pulang ke rumah atau tidak.

“Bila tak jumpa bukti, dia turun semula ke tingkat bawah. Setelah itu Sandy dan mereka yang turut serta itu pulang begitu sahaja. Ia sangat memalukan kerana dia memburukkan nama baik saya. Kenapa sehingga kini masih mengganggu hidup saya sedangkan kami sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi,” ujarnya.

Tertekan dengan perlakuan bekas suami yang dikatakan mencampuri urusan peribadinya, Tessa berasa sangat kesal kerana sudah dua kali Sandy melakukan hal yang sama. Bekas suaminya itu masih tidak berhenti daripada mengganggu hidupnya sedangkan mereka sudah pun berpisah sejak empat tahun lalu.

Di sisi lain, Tessa dikatakan pernah membawa teman lelakinya, seorang juruterbang menginap di kediamannya sebelum ini. Namun sehingga kini cerita itu tidak jelas kebenarannya. Disebabkan khabar angin tersebut, Sandy ingin mencari kepastian.

“Memang ada kalanya kekasih saya ada menghantar pulang jika penggambaran selesai pada waktu Subuh namun itu bukanlah bermakna dia tidur di sini. Itu kan perkara biasa apabila di hantar dan dijemput kekasih cuma mungkin ia mendatangkan salah faham pada mereka yang memandang.

“Sehingga saat ini saya masih tinggal di rumah atas nama kami berdua tetapi itu kesepakatan yang dicapai sehingga saya berkahwin lain. Jadi itu bukanlah bermaksud dia perlu mengambil tahu semua hal saya sedangkan selama ini saya sama sekali tidak pernah mencampuri urusan peribadinya,” ujar pelakon sinetron Melodi Cinta ini.

Terdahulu pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan berpisah pada tahun 2014. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Andisa Leota Anabel Tumiwa dan Andisa Latafka Avram Tumiwa. Tessa mendapat hak penjagaan kedua-dua anak mereka .

Sandy minta hak

Walaupun masih diberi kesempatan untuk bermalam dengan anak-anak mereka namun ada segelintir yang mendakwa Sandy melakukan perkara tersebut sebagai langkah awal untuk merebut kembali hak penjagaan anak daripada bekas isterinya itu. Tessa bagaimanapun tidak mahu mengambil pusing tentang perkara tersebut kerana sebagai ibu dia telah melakukan yang terbaik.

“Saya tidak tahu sama ada itu langkah dia yang selanjutnya. Selama ini saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak. Selama empat tahun berpisah sedaya upaya saya mencari nafkah untuk memberi anak-anak makan pakai secukupnya, tidak pernah ada yang kurang sedikit pun. Salahkah jika mereka rapat dengan kekasih saya? Bagi saya itu tak salah.

“Dalam masa yang sama saya juga tidak pernah menyekat Sandy untuk bertemu dengan mereka. Setiap hari Sabtu memang jadual anak-anak untuk bersama dengan ayah mereka. Tetapi tidak sangka hari tersebut digunakan olehnya untuk menggeledah rumah saya. Kenapa tidak mempergunakan waktu yang ada untuk bersama dengan anak-anak mengganggu hidup saya?,” ungkapnya.

Tambahnya, sehingga saat ini dia masih tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh pelakon yang popular dengan drama Ada Apa Dengan Cinta Itu lagi. Bagi diri Tessa, mencerobohi hak peribadi orang lain merupakan salah satu perkara yang tidak masuk akal, malah dia tidak teragak-agak untuk membawa perkara tersebut ke muka pengadilan jika berulang lagi.