Membina nama dalam dunia seni, mereka berdua tidak saling bertingkah. Sifat hormat si adik iaitu Ruhainies kepada kakaknya, Risteena tidak pernah berubah.

Malah sehingga tiba soal jodoh, Ruhainies tetap mahu beralah kepada Risteena dan mahu melihat kakaknya lebih awal berumah tangga daripadanya.

Kata Ruhainies, itu impiannya sejak kecil yang mahu melihat Risteena menjadi ‘raja sehari’ sebelum dia sendiri mengecap bahagia bersama bakal suaminya yang dikenali sebagai Mr. E.

Mengikut perancangan keluarga, Risteena akan bernikah dengan kekasihnya seorang pelakon yang kini bergelar usahawan iaitu Ikhwan Khairudin.

“Perkara pertama yang membuatkan saya gembira kerana hubungan saya dan Mr. E direstui oleh keluarga kami. Seperti orang lain, saya juga mahu berkahwin dengan orang yang saya cinta.

“Namun, saya tidak akan melangkah ke alam perkahwinan selagi kakak saya, Risteena belum berkahwin.

“Kalau boleh memang saya tidak mahu `langkah bendul’. Biarlah urusan kahwin Risteena dan bakal suaminya selesai pada tahun ini dan fokus diberikan kepada mereka. Saya pun teruja nak dapat abang ipar. Insya-Allah akan disusuli dengan majlis saya pula selepas itu,” kata Ruhainies yang mengagumi bakal abang iparnya yang bersungguh-sungguh mahu memperisterikan Risteena.

Baginya, langkah Ikhwan meninggalkan sementara dunia lakonan kerana terlibat dengan bisnes amat dikagumimya.

“Bukan senang nak cari lelaki yang sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Saya melihat keutuhan cinta ini pada Ikhwan dan Risteena.

“Kakak saya pula seorang yang sangat setia dan sanggup menunggu berapa lama pun untuk Ikhwan membuat persiapan dari segi ekonomi, fizikal dan mental sekali gus melaksanakan tanggungjawab sebagai suami,” jelas Ruhainies yang baharu sahaja bercuti bersama keluarga di London, Itali dan Switzerland pada awal tahun ini.

Peluang ini digunakan untuk melawat kekasihnya Mr. E di London.

Mr. E sudah beri nafkah

Demi membuktikan kesungguhan cinta, Mr. E sudah melatih dirinya bagaimana mahu menjadi suami kepada Ruhainies. Selain mendisiplinkan diri mentaati perintah Allah dan mengukuhkan ekonomi diri, Mr. E juga sudah menjalankan tanggungjawabnya memberi nafkah kepada Ruhainies.

Mr. E mempraktikkan tugas sebagai suami dari jarak jauh.

“Sejujurnya, akibat sibuk bekerja saya tidak sedar usia sudah 27 tahun. Bila kekasih sudah mengajak kahwin, saya hanya ikut rancangannya.

“Bila tarikh nikah itu, saya tidak kisah asalkan selepas majlis kakak.

“Apa-apa pun Mr. E telah menjalankan beberapa tanggungjawabnya sebagai suami walaupun kami belum mempunyai apa-apa ikatan. Antaranya ialah memberi wang kepada saya untuk simpanan walaupun saya sendiri bekerja.

“Katanya mahu melatih diri sebelum sah menjadi suami nanti.

“Saya ada kerjaya sendiri dan tidak pernah meminta semua itu. Dari situ saya melihat dia lelaki yang bertanggungjawab. Saya juga tertarik dengan ilmu agamanya dan dia menjaga solat lima waktu,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ruhainies juga berasa lega apabila Mr. E membenarkannya untuk terus berlakon.

“Saya memang suka bekerja dan Mr. E tahu semua itu. Selepas kahwin pun memang nak bekerja dan tidak mahu goyang kaki walaupun suami mampu menanggung. Saya tak mahu harap duit suami.

“Alhamdulillah, dia menyokong saya 100 peratus,” kata Ruhainies.

Teruja dengan artis Korea

Selain murah rezeki dalam lakonan, Ruhainies juga adalah duta produk Guerisson yang akan menemukannya dengan artis Korea pada pertengahan tahun ini.

“Sebagai duta Guerisson, saya akan ke Korea untuk menjalani satu penggambaran berkaitan produk ini. Apa yang membuatkan saya teruja adalah gandingan bersama artis popular di Korea nanti. Siapa artis itu, saya akan umumkan.

“Gandingan bersama artis luar negara ini diharap sedikit sebanyak memberi pengalaman yang berbeza buat saya. Saya mahu lihat cara mereka bekerja dan mengutip ilmu sepanjang berada di sana. Peluang keemasan ini tidak patut saya lepaskan,” kata Ruhainies yang akan muncul dengan drama Mulut Tempayan dan hos rancangan travelog.

Ibu enggan tangguh nikah Risteena & Ruhainies

Ibu dua pelakon ini, Che Bunga Salleh mengakui yang dia sendiri tidak mahu kedua-dua anaknya melewat-lewatkan urusan pernikahan mereka.

“Sebagai ibu bersyukur apabila Ris (panggilan untuk Risteena) dan Anis (nama panggilan Ruhainies) sudah mempunyai pilihan hidup masing-masing dan mempunyai perancangan untuk berkahwin.

“Jika tiada aral melintang, insya-Allah... Ris akan bernikah tahun ini dengan Ikhwan. Persiapan kahwin sudah pun bermula.

“Ris sudah masuk usia 30 tahun, jadi saya tak mahu tangguh-tangguhkan perkahwinan mereka. Lagi cepat lagi bagus.

“Saya restui pilihan Ris dan Anis kerana calon pilihan mereka bertanggungjawab dan boleh menjaga anak-anak saya dengan baik.

“Selepas Ris berkahwin dengan Ikwan, saya berharap majlis kahwin Anis dan Mr. E menyusul pula tahun depan. Anis pun memang tak mahu `langkah bendul’ dan memberi laluan kepada kakaknya dahulu.

“Kalau boleh biarlah ikut adat. Bermula dengan merisik, bertunang dan bernikah,” kata Che Bunga.