Malah, disebabkan tidak tinggal di bumi Melayu ada yang menganggap mereka tiada pengetahuan tentang sejarah, asal usul, selain tiada nilai kehalusan dalam mempertahan warisan budaya Melayu.

Disebabkan adanya pandangan tipikal sebegini, Nurazimah Mohd Karim, 42, tidak mahu tiga anaknya yang membesar antara dua budaya dikaitkan dengan masalah sosial, pergaulan bebas, tiada adab dan tatasusila serta tidak mampu berbahasa Melayu.

Berkahwin dengan ‘mat saleh’ dan membesarkan anak-anak di Perancis, menjadi cabaran terbesar terutama dari segi mendidik anak agar mempunyai keteguhan jati diri dan mengingati akar umbi sebagai orang Melayu.

Sering menjadi rujukan ibu bapa moden yang mengikuti perkembangan keluarganya di laman sosial Instagram menggunakan nama @light.km, ramai yang mengagumi keupayaan Nurazimah membesarkan anak-anak tanpa melupakan sedikit pun tentang nilai dan budaya Melayu.

“Apabila melihat kenalan-kenalan Melayu di luar negara, sama ada keluarga yang menetap di sana atau mereka yang berkahwin campur, agak sukar untuk mengekalkan bahasa ibunda mereka, saya jadi takut.

“Saya rasa ia sesuatu yang merugikan kerana kami berpeluang mendidik anak-anak bercakap pelbagai bahasa kenapa tidak masukkan sekali bahasa Melayu?

“Setahun sekali saya akan balik Malaysia bawa anak-anak jumpa saudara-mara. Saya fikir susah kalau anak-anak tak pandai cakap Melayu kerana saya sendiri mahu anak-anak bercampur dengan anak orang Melayu.

“Saya pula sangat rapat dengan keluarga, jadi apabila saya melahirkan anak pertama saya nekad untuk mendedahkan dia kepada budaya dan bahasa tambahan.

“Walaupun agak kekok pada awalnya, lama-kelamaan saya mula terbiasa menjadi ‘ibu Melayu’ apabila anak-anak semakin bertambah.

“Suami juga tidak menghalang malah dia menyokong pendirian saya yang mahu mengekalkan jati diri anak-anak dengan budaya saya.

“Dia sendiri belajar untuk berbahasa Melayu supaya anak-anak lebih mudah menerima apa yang dipelajari mereka,” katanya yang memenuhi jemputan Mega Rona untuk sesi fotografi ketika pulang bercuti ke Malaysia baru-baru ini.

Keletah si bongsu, Jade Nur Moulin, 6, bercakap Melayu dengan loghat ‘nogori’, serta abang dan kakaknya, Adam Daniel Moulin, 15, dan Ida Aili Moulin, 11, belajar mengaji secara online dengan guru agama sering mendapat perhatian netizen setiap kali dimuat naik di media sosial terutama Instagram dan YouTube.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ketiga-tiga anak Nurazimah kini antara ‘bintang Insta’ yang sedang mengumpul ‘peminat’ mereka tersendiri dalam masyarakat ‘maya’ negara ini.

Kata wanita asal Negeri Sembilan itu, seiring dengan perkembangan teknologi semasa tidak sukar untuk dia mendedahkan anak-anaknya dengan bahasa Melayu.

Meskipun hanya membuat panggilan video ke Malaysia untuk bercakap dengan saudara-mara, itu juga sudah membantu anak-anaknya fasih berbahasa Melayu.

Malah, ketika usia Jade masih bayi, hampir kebanyakan masa dia akan bercakap bahasa Melayu bersama keluarga dan mengelakkan penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis.

Di samping itu, dia turut memberi pendedahan melalui tontonan video siri kartun Upin Ipin supaya anak-anak lebih memahami perbendaharaan kata.

Sehinggalah usia Jade tiga tahun dan petah bercakap Melayu, Nurazimah beralih ke peringkat seterusnya iaitu belajar bahasa Inggeris, kerana Perancis juga sama seperti Malaysia yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

“Setiap kali dia tersasul saya akan tegur dia supaya bercakap Inggeris sahaja. Percaya atau tidak, Jade belajar sendiri aksen (loghat) Inggeris hanya melalui YouTube. Di sinilah manfaatnya penggunaan sosial media.

“Saya juga membuka akaun Instagram disebabkan tidak mahu anak-anak terputus hubungan dengan orang Malaysia, dalam masa yang sama memberi semangat dan motivasi kepada mereka untuk mendalami budaya orang Melayu sepenuhnya.

“Saya bersyukur kerana saya bekerja dari rumah, menguruskan perniagaan inap desa dan makanan. Ini memudahkan saya memantau anak-anak dan membesarkan mereka secara sepenuh masa,” katanya yang terkenal dengan perniagaan Nasi Ayam Paris yang disasarkan kepada pelancong-pelancong Malaysia di kota fesyen tersebut.

Menurutnya, tanggungjawab mendidik anak-anak dengan cara Islam juga terletak pada bahunya kerana suami masih lagi dalam proses pembelajaran untuk mengenali Islam.

Berusaha memberikan didikan agama sebaik mungkin kepada anak-anak seperti mengambil guru agama secara online, Nurazimah juga menggalakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan seagama di sekolah selain sentiasa mengingatkan mereka supaya tidak terlalu ikut cara orang Barat bergaul.

Akuinya, anak-anaknya kurang bercakap dan agak pemalu apabila berdepan dengan orang luar, namun jika sudah mengenali lama, mereka boleh menjadi ‘becok’ jika diajak berbual.

Sama seperti ibu bapa lain, Nurazimah juga sentiasa berusaha mencari kaedah terbaik untuk membesarkan anak-anaknya dalam era globalisasi yang mana cabarannya terlalu berbeza berbanding dahulu.

Dengan kepantasan ledakan teknologi, maklumat serta liberalisasi budaya yang merentas sempadan dunia, dia dan suami mengambil pendekatan untuk peka dengan perkembangan semasa anak-anaknya dan bersikap lebih tegas dalam sesuatu hal, namun mereka juga boleh menjadi sahabat kepada anak-anak.