Rosyam yang juga duta World #QuranHour akan memulakan pendakian itu pada pukul 10.30 pagi dengan disertai 14 individu lain termasuk orang kenamaan, rakan selebriti dan wakil media.

Menurut pelakon tersebut, dia akan membawa dua Jalur Gemilang serta senaskhah al-Quran bersamanya sepanjang pendakian yang akan dikenali sebagai Clim­bing For World #QuranHour itu.

“Idea ini tercetus selepas dinasihatkan supaya tidak melakukan program jalan kaki seperti tahun lepas kerana faktor trafik,” katanya di sini hari ini.

World #QuranHour 2017 de­ngan tema World of Compassion (Dunia Kasih Sayang) akan diadakan di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat sini 31 Ogos ini.

Tambahnya, Jalur Gemilang dan al-Quran yang dibawanya akan diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.

Dalam pada itu katanya, tiada sebarang persiapan dilakukan bagi menjayakan pendakian tersebut memandangkan dia terlalu sibuk dengan jadual penggambaran.

“Walaupun tiada persedia­an dibuat, saya yakin dengan kemampuan diri selain berasa lebih bersemangat apabila membawa dua bendera dan senaskhah al-Quran.

“Saya cuba lakukan akti­viti biasa untuk mengekalkan stamina dan mendapatkan rehat yang cukup sebelum program.

“Saya akan cuba tamatkan pendakian kira-kira 2,200 anak tangga itu dalam tempoh sejam dan diharap program ini berjalan dengan lancar,” ujarnya.