Pun begitu, pengarah naskhah terbabit, Mamat Khalid segera menepis dakwaan tersebut kerana menganggap setiap watak yang terdapat dalam karya terbaharu arahannya itu diseimbangkan mengikut kemampuan pelakon.

“Saya tidak nampak kredibiliti Ropie sebagai Nayan telah menenggelamkan lakonan Awie membawakan watak Husin kerana mereka ada bahagian masing-masing.

“Bahkan, setiap pelakon yang terlibat dalam filem francais ini berpeluang untuk menyerlah menerusi watak mereka.

“Rasanya, dari dulu sampailah sekarang, saya akan pastikan watak yang muncul sebabak pun ada impaknya,” jelas Mamat.

Justeru, Mamat berharap Hantu Kak Limah yang difrancaiskan berdasarkan penerbitan filem Zombi Kampung Pisang itu dapat diterima baik oleh audiens, sekali gus mencatat kutipan pecah panggung.

Hantu Kak Limah terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold akan menemui penonton di lebih 100 pawagam bermula 9 Ogos hadapan. - UTUSAN ONLINE