Dianjurkan oleh Yayasan Perdana Ummah (YPU) di bawah seliaan Pejabat Penasihat Perdana Menteri, selain artis, rombongan tersebut turut disertai oleh karyawan lain seperti budayawan, novelis, kartunis serta wartawan hiburan tempatan.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Rizal Mansor, program itu adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ramadan lalu untuk membuka pintu kepada golongan veteran menunaikan umrah.

“Ini adalah rombongan pertama yang dibawa ke sana. Kami di YPU adalah ejen atau jambatan yang menghubungkan antara persatuan seni dan pejabat PM demi melaksanakan hasrat PM ini.

“Pada masa yang sama, ini adalah satu penghormatan kepada kami untuk menguruskan rombongan istimewa ini di samping merebut pahala untuk sama-sama mengerjakan umrah,” katanya yang ditemui sewaktu hadir menyambut jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

Antara artis yang mengikuti rombongan itu ialah Hamid Gurkha, Harun Hashim, Aida Agil, Zaiton Sameon, Sahara Yaacob, Shima, Zaleha Hamid, Mat London, Ibnor Riza, Ayati Tasrip, Sulaiman Yassin (Mat Over) dan Halil Chik.

Ekoran kejayaan penganjuran sulung tersebut, Rizal berkata, Perdana Menteri bersetuju untuk meneruskan edisi kedua program menunaikan umrah dalam kalangan veteran seni pada April depan.

“Walaupun baru julung kali dianjurkan, saya melihat program ini amat baik untuk diteruskan dan menerima maklum balas positif daripada banyak pihak.

“Jadi PM juga telah bersetuju untuk meneruskan program ini dalam masa terdekat. Kami di YPU perlukan sedikit waktu untuk menyelesaikan beberapa hal dokumentasi sebelum diteruskan.

“Pun begitu, pihak kami menetapkan beberapa kriteria pemilihan dari segi kewangan, kemampuan fizikal dan tidak mempunyai masalah untuk ke luar negara.

“Kalau boleh, memang kami nak bawa seramai yang mungkin namun perlulah memenuhi kriteria di atas,” katanya.

Menurut Rizal, Perdana Menteri mahu memberi peluang kepada lebih ramai golongan karyawan agar dapat menunaikan umrah.

 

Seniman luah rasa syukur

Dalam pada itu, Hamid Gurkha, 85, amat berterima kasih kepada YPU yang menawarkannya peluang tersebut kerana kali terakhir dia menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah adalah pada 2014.

Katanya, dia memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi kesempatan untuk menunaikan ibadah tersebut buat kali ketiga.

“Dulu selepas kembali dari Mekah, saya ingatkan sudah tak berpeluang lagi. Alhamdulillah, rezeki Allah itu ada di mana-mana dan saya bertuah kerana dijemput ke rumah-Nya sekali lagi,” jelasnya ringkas.

Sementara itu, pelakon versatil Harun Hashim, 62, berpendapat, peluang berada di hadapan Kaabah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Kata pelakon drama Kasih Ayah itu, pembabitannya dalam bidang seni sekian lama pernah membuatkannya lalai dan leka dengan tanggungjawab sebagai seorang muslimin.

“Tidak dinafikan, tuntutan selaku seorang pelakon kadang kala membuatkan saya alpa malah ada masa saya ketepikan soal halal dan haram.

“Sebab itulah saya tidak mahu mensia-siakan kesempatan yang ada untuk memohon keampunan kepada Allah tatkala berada di rumah-Nya,” ujarnya yang menyimpan hasrat begitu lama untuk ke Mekah dan menziarah Madinah.

Dalam pada itu, Shima yang pernah popular menerusi lagu Teringin pada awalnya menyangka pemilihannya untuk menyertai rombongan tersebut sebagai satu gurauan.

“Alhamdulillah, semua itu sudah pun jadi kenyataan. Ketika nak bertolak hari itu, saya masih tidak percaya akan tawaran tersebut sehinggalah mata saya menatap Kaabah,” jelasnya.

Selain itu, penyanyi veteran Sahara Yaacob, 61, mengakui dia tidak mampu menyekang air mata apabila berdiri di hadapan Kaabah.

Katanya, dia tidak pernah membayangkan dirinya dapat bertentang mata menatap Baitullah lantaran kesukaran hidup dari sudut kewangan.

“Syukur kepada Allah, keinginan itu sempat direalisasikan sebelum saya menutup mata,” tuturnya.