Sisi romantis yang dipamerkan pasangan sama cantik sama padan ini sejak disatukan ‘secara rahsia’ pada 27 November lalu itu juga telah membuka mata semua pihak tentang keistimewaan aura yang terletak dalam diri mereka berdua.

Sekali gus telah ‘memaku’ perhatian banyak pihak untuk terus mengikuti perkembangan kedua-dua pelakon ini di laman sosial. Di situ terletaknya lubuk kemanisan yang dipamerkan pasangan ini yang telah menawan hati peminat.

Tidak dinafikan gabungan Fattah dan Fazura telah menambah pengaruh mereka yang sedia ada hingga ‘meracuni’ pemikiran peminat untuk mengangkat mereka sebagai pasangan suami isteri paling romantik tahun ini.

Justeru menenggelamkan cerita panas berhubung perkahwinan rahsia mereka pernah mencetuskan kekecohan di media tempatan sebelum ini. Nyata cerita tersebut seolah-olah tidak pernah memudarkan keintiman magnet cinta pasangan sejoli ini.

 

Rezeki & Paparan Kebahagiaan

* Sehari selepas pernikahan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, Fattah menerima hadiah perkahwinan pertamanya iaitu sebuah kereta selepas merangkul trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular tahun ini. Ganjaran tersebut kemudiannya dihadiahkan kepada orang tuanya.

* Fazura tidak menyangka berduet dengan penyanyi antarabangsa dari Indonesia, Anggun Cipta Sasmi. Mereka bakal menyanyikan lagu The Good Is Back untuk single penyanyi yang mencipta nama di Perancis itu. Pemilihan yang dibuat Anggun itu disebabkan keselesaannya terhadap personaliti Fazura yang dikatakan mirip dengannya.

* Fattah mengakui sudah menerima tawaran lakonan daripada produksi Indonesia selepas menemani isterinya pada Malam Gala Ayat-Ayat Cinta 2 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 7 Disember lalu. Siapa sangka kehadirannya di majlis berkenaan membuka rezeki untuk melebarkan sayap di negara jiran pula. Filem yang turut dibintangi Fazura itu bakal ditayangkan di pawagam tempatan pada Januari ini.

* Pasangan ini terus meraikan kebahagiaan mereka musim-musim bahagia mereka dalam percutian bulan madu di United Kingdom dan beberapa buah negara Eropah lain sejak minggu lalu. Ramai yang ‘cair’ dengan aksi manja pasangan ini apabila masing-masing berkongsi gambar terkini mereka di laman sosial. Nampaknya fenomena #Fattzura semakin masyhur semerbak hingga tahun depan.

* Khabarnya majlis resepsi bagi meraikan kebahagiaan mereka bersama rakan industri dan teman rapat bakal diadakan sekitar Mac atau April akan datang seperti mana yang dijanjikan ketika sidang akhbar pada 23 November lalu. Jadual kerja yang terlalu ketat selepas berkahwin November lalu memungkinkan mereka untuk mengadakan majlis dalam tempoh terdekat.