Begitu juga dengan filem Roh Yang Tak Terlihat (RYTT) yang merupakan filem seram dari Indonesia yang akan ditayangkan tidak lama lagi, ada sesuatu yang menarik perhatian saat melihatkan sambutan hangat yang diberikan oleh para peminat filem seram di sana.

Tidak sekadar memaparkan kisah seram yang membuatkan penonton tak senang duduk, RYTT juga mencipta sejarah baharu bagi sinema Indonesia apabila mendapat pengiktirafan daripada Museum Rekor Indonesia (Muri) kerana menampilkan makhluk halus paling banyak dalam sesebuah filem.

Bagi Billy Christian yang bertindak selaku pengarah RYTT, pengiktirafan yang diberikan itu bukan sahaja diterima dengan rasa syukur tetapi juga membuatkan dia terkejut kerana diiktiraf sebegitu tinggi.

“Sejak awal pembikinan lagi kami tidak pernah memikirkan untuk mencipta apa-apa rekod. Sewaktu menghasilkan lakon layar kami juga tidak pernah mengira jumlah penampilan roh, makhluk halus dan hantu yang akan disiarkan sepanjang filem ditayangkan.

“Apabila ada yang mengira dan memberikan pengiktirafan, tentu sahaja perkara berkenaan membuatkan saya gembira kerana mereka memberikan perhatian besar kepada filem ini,” kata Billy lagi.

Menampilkan 67 entiti sepanjang filem ini ditayangkan, Billy menegaskan yang mereka tidak pernah sesekali mahu menyasarkan untuk mencipta apa-apa rekod. Apa yang dipaparkan merupakan elemen kejutan untuk memperkuatkan jalan cerita yang mengisahkan tentang ‘kelebihan’ watak Saraswati yang mampu melihat makhluk ghaib.

Sudah ditayangkan di Indonesia pada tahun lalu dengan judul Mereka Yang Tak Terlihat, untuk pasaran Malaysia pula judulnya diubah sedikit bagi memberikan kelainan serta mengambil kira budaya masyarakat Malaysia sendiri.

RYTT mengisahkan tentang seorang gadis yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta mempunyai deria keenam. Dia mampu melihat roh dan hantu yang berada di sekelilingnya sepanjang hidupnya. Keistimewaan ini yang digelar indigo membuatkan Saraswati dilihat berbeza sejak zaman kanak-kanak lagi.

Dilakonkan oleh Estelle Linden yang memegang watak Saraswati, filem ini juga turut dilakonkan oleh Sophia Latjuba sebagai Lidya dan Bianca Hello sebagai Laras. Turut terlibat, Roweina Umboh, Dayu Wajanto, Frisly Herlind dan Aliyah Faizah.

Kisah benar

BAGI Billy, apa yang dipaparkan menerusi RYTT bukan sekadar imaginasi dirinya sebaliknya turut diangkat daripada kisah benar. Dia sendiri pernah bertemu dengan orang yang mempunyai deria keenam tersebut demi mendapatkan plot yang menarik untuk digunakan semasa penggambaran. 

“Kami bertemu dengan individu yang dikatakan mampu untuk melihat perkara ghaib. Daripada pertemuan tersebut, banyak input baharu yang diperoleh untuk mencantikkan lagi filem ini. Dalam pertemuan itu juga, mereka yang membawa ahli psikologi turut menyaksikan sendiri dia berinteraksi dengan roh (makhluk ghaib).

“Sebenarnya kisah ini juga diangkat daripada apa yang dizahirkan oleh individu yang berkomunikasi dengan roh tersebut. Kita olah semula intipati percakapan mereka dan dijadikan sebuah filem yang menarik,” kata Billy bercerita.

RYTT bercerita tentang seorang ibu tunggal, Lidya yang membesarkan Saraswati dan Laras. Namun kelebihan salah seorang daripada anaknya itu memberikan masalah kepada mereka sekeluarga apabila Lidya tidak pernah mengakui tentang kelebihan yang dimilikinya sehingga memberikan konflik kepada mereka.

Ketika dia berusia 17 tahun, dia pernah dirasuk beberapa kali sehingga terpaksa dirujuk kepada pakar psikologi. Konflik bertambah sedikit demi sedikit apabila Saraswati didatangi roh seorang gadis yang meminta bantuan daripadanya.

Roh Yang Tidak Terlihat diedarkan oleh Empire Film Solution dan Cashmere Studio ini bakal ditayangkan bermula 12 April ini.