Kaka Azraff dan Rody mula rapat sejak menyertai program Duo Star.

Bagaimanapun katanya, mereka berdua belum lagi memikirkan sebarang tarikh untuk mengikat tali pertunangan kerana hubungan tersebut baru saja bermula ketika sama-sama terlibat program realiti Duo Star pada November lalu.

“Saya mula mengenali Kaka ketika dia bertindak selaku pembantu peribadi Ella yang juga ibu saudaranya. Waktu itu dia belum lagi bergelar penyanyi.

“Cuma kenal-kenal macam tu saja, tidak rapat. Bagaimanapun sejak rakaman Duo Star bermula pada awal bulan lalu, barulah mula rapat,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE.

Menurut Rody, hubungannya dengan pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu masih terlalu awal untuk melangkah ke fasa seterusnya kerana mereka sedang mengenali hati budi masing-masing.

“Khabar angin mengatakan kami menangguhkan majlis pertunangan yang sepatutnya berlangsung pada 1 Januari ini adalah tidak benar memandangkan kami sendiri pun belum merancang ke arah itu.

“Namun, saya menganggap ia satu doa terhadap hubungan kami dan berharap segalanya berjalan lancar,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE