Baru sahaja selesai menikmati makan malam di sebuah restoran sekitar bandar Port Dickson, Negeri Sembilan pada Selasa lalu, Sharul berkata dia tertinggal dompetnya di atas meja sebelum beredar.

“Pun begitu, tidak sampai 10 minit selepas menyedari ketiadaan dompet tersebut, saya berpatah balik ke restoran berkenaan.

“Malangnya, saya dimaklumkan oleh pekerja di premis itu bahawa mereka tidak menemukan dompet saya yang berisi wang tunai berjumlah RM1,000,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE.

Menurut Sharul, mungkin jumlah tersebut nampak kecil bagi sesetengah orang, tetapi tidak baginya. Bagaimanapun dia reda dan percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmah tersendiri.

Tambahnya lagi, sebagai seorang pelanggan tetap di restoran berkenaan, dia berasa kecewa atas sikap pekerja di situ yang tidak amanah dan jujur.

“Mungkin duit itu bukan rezeki saya,” ujarnya ringkas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sharul baru sahaja selesai penggambaran sebuah program televisyen berjudul Travelog Backpakers selain mula sibuk mempromosikan single terbaharunya, Racun Rindu. - UTUSAN ONLINE