Tidak dinafikan, jarang sekali Riz Amin mendapat perhatian dalam aspek populariti dan itu menjadi sebahagian jawapan mengapa dia tidak begitu dikenali sebelum ini.

Pun begitu, selepas banyak diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah tempatan untuk membintangi drama dan filem seperti Tujuh, Laga, 29 Februari dan Hantu Kapchai, empunya diri mengakui, sedikit sebanyak sudah ramai yang mula mengenali dirinya.

Tidak pernah memandai-mandai mahu mencetuskan kontroversi, kata anak kelahiran Changlun, Kedah, ini, meski ada antara artis yang menganggap hal itu satu perkara biasa demi mengejar populariti namun dia lebih lebih selesa untuk tidak melakukannya.

“Bukan saya tak pernah terfikir untuk membuat kontroversi bahkan sebelum ini pernah ada yang beri ‘nasihat’ kepada saya, kalau mahu cepat popular, ciptalah kontroversi.

“Tapi saya tak buat sebab saya tak tergamak. Saya fikirkan keluarga dan orang yang saya sayangi. Tambahan pula sekarang saya sudah mempunyai isteri. Punya dua buah keluarga yang perlu saya jaga air muka mereka. Tak sanggup saya nak mereka cerita mengarut,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Riz, keengganan itu tidak pula bermaksud dia berpendirian bahawa populariti itu tidak penting.

“Untuk menjadi artis, ya, populariti itu penting. Kalau tak popular, orang tak kenal. Dan saya tak pula kata artis yang terlibat dalam pelbagai kontroversi itu adalah jijik.

“Kadangkala mereka tak minta pun untuk terlibat dengan kontroversi dan harus diakui, kadangkala sesuatu yang negatif itu boleh membawa perkara yang positif untuk mereka. Contohnya, mereka dikenali dan mendapat banyak tawaran berlakon,” ujarnya.

Berkongsi rasa, kata pemuda berusia 30 tahun ini, jika tidak kerana kerjayanya, dia tidak merasakan mencari publisiti itu satu keperluan.

Bahkan dia bersyukur kerana biarpun kurang publisiti, dia tetap diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah serta tidak pernah susut dengan pelbagai tawaran lakonan biarpun cuma diberi watak pelakon pembantu untuk sesebuah naskah.

Malah dia mengakui, biarpun hanya watak pembantu, dia tidak pernah berasa malu kerana percaya bahawa itu merupakan rezeki dan peluang yang tidak wajar ditolak.

“Lihat dari sudut yang positif. Tidak semestinya perlu sentiasa menjadi watak hero atau pelakon utama. Yang penting, macam mana kita bawa watak itu.

“Biarlah watak kecil sekali pun, yang harus seseorang pelakon lakukan adalah memberi sepenuhnya jiwa kepada karektor itu. Buat ulangkaji, berikan yang terbaik dan berikan yang pengarah inginkan.

“Saya sebenarnya tak pernah kisah kalau tak bawa watak utama. Sebab yang penting, saya lebih suka kumpul ilmu dan belajar dengan pengarah dan pelakon lain termasuk pasukan produksi dengan ilmu belakang tabir.

“Alhamdulillah, saya selalu diberikan peluang dan ruang untuk bertemu dengan pasukan yang betul. Terus terang, saya tak kisah kalau baru sekarang orang kenal saya, sebab mungkin ini sudah menjadi ketentuan Allah SWT. Mungkin jalan saya sedikit lambat daripada orang lain,” kata pelakon yang memegang watak Malik dalam telemovie berjudul Lima Kali Cinta yang akan disiarkan tidak lama lagi.