Dua dekad bergelumang di hadapan lensa kamera tidak memungkinkan wanita berusia 32 tahun itu meletakkan titik noktah kepada kariernya selepas mendirikan rumah tangga dengan aktor Yusry Abdul Halim.

Selama aktif dalam dunia layar lebar, kualiti lakonannya pasti memberi kesan kepada penonton dan antara naskhah popular yang dibintanginya ialah Istanbul Aku Datang, Manisnya Cinta Di Cappadocia serta Ombak Rindu adalah karya yang pernah melonjakkan namanya di ketika itu.

Tidak hanya mengehadkan kebolehan sebagai pelaku seni, Lisa turut pernah menyertai beberapa drama bersiri serta telefilem bagi meluaskan konteks lakonannya.

Kini, tidak keterlaluan andai melabelkan wanita ini telah berada dalam liga yang tersendiri dan barangkali masih lagi menjadi rebutan rumah produksi yang menginginkan khidmat seninya.

Lebih selektif, itu tutur kata yang kedengaran saat diajukan kepada ibu beranak dua ini apakah dia kini meletakkan sebarang syarat untuk menerima sebarang tawaran lakonan.

Seiring dengan kematangan usia dan penglibatan dalam industri, Lisa berpendapat sudah tiba masa untuk dia menetapkan sendiri hala tuju demi kelangsungan kerjaya.

“Ada satu tahap dalam hidup kita yang merasakan sudah tiba masanya kita melakukan perubahan. Salah satu cara yang saya lakukan ialah dengan mengaplikasikannya kepada perjalanan seni saya.

“Ya, saya akui lebih selektif dalam memilih naskhah yang hadir. Tetapi adakalanya saya menerima karya itu kerana sudah selesa bekerja dengan produksi tersebut.

“Itu bermakna kita semakin matang dalam melihat ke manakah perginya perjalanan karier itu nanti. Perkara itulah sehingga ke detik ini masih lagi menjadi pegangan saya,” ujarnya memberi penjelasan.

Atas faktor itu, siri terbaharu berjudul Jibril arahan Megat Shahrizal berhasil menepati kriteria pelakon filem Lagenda Budak Setan itu.

Plot penceritaan yang menarik dan kualiti yang diterapkan dalam produksi Jibril antara faktor utama membuatkan Lisa kembali semula ke layar perak selama setahun merehatkan diri.

Drama yang mengandungi 10 episod itu merupakan terbitan digital platform Viu dengan kerjasama Media Prima Berhad dengan turut dibintangi Aeril Zafrel, Tony Eusoff, Zahiril Adzim dan Sangeeta Krishnasamy.

“Agak lama sebenarnya saya tak berlakon dalam siri atau drama. Sewaktu menerima tawaran ini, ada sesuatu yang membuatkan saya tidak boleh menolak untuk menjadi sebahagian dalam tenaga produksi ini.

“Plot cerita yang digarap dengan kemas dan banyak memaparkan kisah dunia jenayah serta penyiasatan berjaya menarik perhatian saya untuk serius kembali berlakon.

“Meskipun jujurnya saya pernah fikir apakah saya mampu beri komitmen sepenuhnya di set penggambaran dengan status saya sebagai ibu kepada anak yang masih perlukan perhatian.

“Namun, semua itu lenyap dengan sendirinya apabila saya tidak mengalami sebarang masalah dengan produksi ini dan semua jadual telah disusun rapi,” katanya yang memegang watak sebagai Mona.

Bengkel tangani isu gajet, kanak-kanak

DILANTIK sebagai duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (UNICEF) Malaysia, ibu kepada Yahaira Leanne, 3, dan Yusof Leonne, setahun itu rancak berkempen dalam menyebarkan kesedaran tentang penggunaan gajet kepada kanak-kanak.

Menyedari kepentingan teknologi dalam kalangan masyarakat hari ini, Lisa terpanggil untuk membantu memberi pemahaman tentang bahayanya isu siber yang kian tular dalam alam maya.

Lebih menguatkan lagi profilnya itu, Lisa yang juga penerima sijil Certified Information Security Awareness Manager (CISAM) yang meletakkan dirinya sebagai ibu bapa moden, sekali gus ingin menghulurkan bantuan.

“Skop tugas saya iaitu membantu ibu bapa faham tentang konteks isu siber dan penggunaan gajet yang berlebihan kepada anak kecil.

“Dengan sijil ini, saya diiktiraf untuk memberikan latihan serta bengkel kepada golongan ibu bapa yang ingin dibantu menangani permasalahan ini.

“Saya meletakkan diri sebagai ibu bapa moden dengan kewujudan gajet, telefon pintar dan media sosial.

“Saya juga anggap tip ibu bapa zaman dahulu masih lagi relevan dan masih boleh dipraktikkan pada masa sekarang. Tetapi ini hanya sebahagian, selebihnya masih lagi kurang memahami kerana perbezaan zaman,” ujarnya.

Dalam pada itu Lisa juga mengaku turut memberi gajet kepada anak-anaknya dan melihat dari sudut positif bahawasanya ada kebaikan dalam keburukan.

“Saya memang bagi anak-anak bermain dengan gajet tetapi hanya aplikasi pembelajaran sahaja yang akan dimuat naik, selain dari itu memang saya pantau.

“Secara tak langsung mereka berdua boleh bermain sambil belajar. Sebagai ibu bapa kita tak boleh samakan anak-anak dengan anak orang lain, perkembangan mereka berbeza.

“Saya juga mengehadkan tempoh masa untuk mereka bermain dengan gajet. Mujur anak saya jenis yang cepat bosan dan akan pulangkan kembali gajet kepada saya,” kongsinya.