Merupakan antara pelakon wanita yang paling banyak ditampilkan dalam siri tersebut, sekali gus memberi populariti buat Shahriza, mungkin disebabkan ketangkasannya yang nyata, bukan dibuat-buat.

Berpeluang bertemu dengan dramatis berkenaan baru-baru ini, wanita berusia 49 tahun itu masih lagi diberi peluang berlakon dalam pelbagai drama dan kebelakangan ini, pentas teater yang merupakan platform buatnya bergelar pelakon pada 1986 mula menjadi mainan seni semasanya.

Ditanya tentang kegemilangan drama bercirikan pendekar, Shahriza akui berasa rindu akan tika dan detik itu. Namun akur, perubahan cita rasa penonton membuatkan produser dan pengarah tidak mahu menerbitkannya.

“Sebagai pelakon, pengarah dan penerbit, saya telah menempuhi pelbagai pengalaman. Kita tidak boleh menghasilkan sesebuah drama mengikut kehendak hati, tetapi perlu mengkaji kemahuan penonton kerana merekalah yang memastikan naik turunnya sesebuah karya.

“Saya tahu, setiap kali berjumpa dengan peminat, ramai yang bertanyakan bila lagi saya akan tampil dalam drama purba ala pendekar? Akan tetapi, selaku pelakon, saya berlakon mengikut tawaran yang ada berdasarkan drama-drama yang mempunyai genre kegemaran semasa.

“Apabila bercerita selaku seorang penerbit, saya perlu memastikan pelaburan yang dibuat berbaloi, benar-benar ditonton oleh peminat, bukan sekadar tangkap muat gara-gara syok sendiri.

“Jika saya buat begitu, stesen televisyen tidak akan lagi meletak kepercayaan kepada produksi mereka. Jadi saya perlu jaga periuk nasi sendiri juga,” katanya yang baru sahaja selesai pementasan teater Awang Kudis Buta di sisi Yaya Maembong dan Zul Handy Black.

Tambahnya, suatu hari nanti, andai diberi peluang dan kesempatan, pastinya dia mahu beraksi semula dalam drama purba berkenaan, walaupun menyedari peningkatan usia membataskan pergerakannya.

“Mungkin bukan lagi sebagai pendekar, tetapi sebagai guru silat atau watak bersesuaian. Saya rindukan suasana di set penggambaran yang berlatarbelakangkan era tersebut,” katanya.

Berasa lebih bahagia

Menyentuh sisi peribadinya terutama kisah rumah tangga dramatis itu, kisah digantung tidak bertali kira-kira selama empat tahun bersama bekas suami terdahulu benar-benar memberi impak mendalam terhadap hidupnya.

Namun, kehadiran Saddiq Raffali, 37, yang dikahwininya pada 2011 sedikit sebanyak berjaya menyembuhkan luka lamanya dan mula mengecapi kebahagiaan yang telah lama diidamkan.

“Diakui, kisah silam sentiasa menghantui saya kerana pengalaman lalu begitu memeritkan. Bagaimanapun, Saddiq menutupi kelukaan tersebut secara perlahan-lahan dengan sikapnya yang bertanggungjawab.

“Walaupun selepas empat tahun perkahwinan kami tidak dikurniakan zuriat, tetapi kami tetap bahagia menjalani kehidupan suami isteri, sesuatu yang saya tidak pernah dirasakan dahulu.

“Saya bersyukur dijodohkan dengan seorang lelaki yang faham akan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Baru kini saya mengecapi nikmat seorang isteri walaupun belum berkesempatan bergelar ibu,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Shahriza sedang menunggu tiga buah drama lakonannya ditayangkan iaitu Stella, Hip Stanza Fitri dan As Solihin.

Pada masa yang sama, penangan drama pendekar membuatkan Shahriza tampil dengan produk Sambal Pendekar. Dikeluarkan dalam dua perisa iaitu petai dan jering, resipi sambal tersebut adalah menu aslinya sendiri yang diwarisi turun temurun.

“Alhamdulillah, banyak tempahan yang diperoleh dan perisa petai menjadi idaman ramai. Sambal ini sesuai dimakan bersama nasi berlauk atau pun ketika menjamu nasi goreng. Ia menambah keenakan makanan tersebut,” katanya memberi penjelasan.