Daripada seorang penyanyi yang tahunya cuma menghiburkan peminat dengan nuansa lagu-lagu hits ramai, menulis lirik, berlakon, Rihanna mencabar dirinya untuk melangkah hebat dalam bidang fesyen dan terbaru menerusi bidang kosmetik selepas melancarkan jenama Fenty Beauty yang mengundang kegilaan wanita seluruh dunia pada waktu ini.

Sekali gus, ia meletakkan Rihanna di satu kedudukan tersendiri di mana dia kini dianggap sebagai seorang mogul bisnes lantaran memiliki rantaian karier dalam satu masa dan siapa sangka, begini hebat Rihanna mampu meletakkan dirinya sebagai seorang yang disegani di mata dunia sehinggakan portal majalah atas talian antarabangsa, Women’s Wear Daily menggelar penyanyi ini sebagai artis ‘powerhouse multihypenate’.

Rihanna dianggap bijak menggunakan kuasanya sebagai seorang bintang bertaraf mega. Lihat sahaja bagaimana dia menggunakan platformnya sebagai pengarah kreatif jenama sukan Puma, di mana baru-baru ini ketika terlibat dalam minggu fesyen New York. Dia meninggalkan impak epik buat penonton yang kagum dengan ideanya membawa masuk pelagak aksi motocross sebagai sebahagian daripada gimik pertunjukan fesyen.

Meski meninggalkan rasa kagum di kalangan penonton, Rihanna sedikit pun tidak membayangi jenama itu sendiri. Begitu juga dengan jenama kosmetik Fenty Beauty, dalam minggu yang sama, Rihanna menerima pujian yang menggunung daripada peminat dan pengguna kosmetik dunia yang menganggap Rihanna memahami masalah pengguna dengan menghasilkan rangkaian bedak asas bersesuaian dengan 40 warna kulit.

Warna asas paling gelap dikatakan terjual sekelip mata dan paling laris dalam masa beberapa hari, sekali gus menandakan Rihanna sangat hebat dalam strategi pemasaran dengan dalam masa yang sama, mampu memenuhi cita rasa pengguna yang sudah lama mendambakan rangkaian produk seperti Fenty Beauty. Malah sehingga kini, orang masih bercakap mengenai jenama berkenaan.

Awal musim panas lalu, ketika dia meraih kedudukan teratas carta muzik seluruh dunia menerusi lagu hits berjudul Wild Thoughts, penyanyi berusia 29 tahun ini menjelajah Paris dalam misinya berbincang mengenai pendidikan global bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan perjalanan turut merentasi Barbados, tanah kelahirannya.

Keberangkatannya itu menyaksikan dia menyandang gelaran ikon dan duta Pendidikan Kerjasama Global yang mana ia adalah antara usaha untuk mengumpul dana sebanyak AS$2 bilion (RM 5 bilion) dalam misi dana pendidikan buat pelajar-pelajar sekolah yang tidak berkemampuan di kesemua negara membangun.

Rihanna dalam satu temu bual bersama majalah Essence pada tahun 2015 pernah meluahkan isi hatinya mengenai sikap sesetengah masyarakat dunia yang masih lagi tabu dan rasis terhadap individu berkulit hitam.

Paling mengecewakan kata Rihanna, seakan-akan ada perbezaan dari sudut pekerjaan dan itu adalah apa yang dia tidak mahu terus berlaku sehingga menjadi virus yang sukar diubati.

“Saya hairan, mengapa orang boleh menerima wanita berkulit hitam menceburi bidang seni, menyanyi, menari, berparti dan menjual imej seksi. Tetapi mereka seakan tidak boleh menerima wanita kulit hitam juga mampu duduk berdiskusi, berbincang dan bercakap dalam bidang korporat.

Wajah di sebalik ikon R&B

Dilahirkan dengan nama Robyn Rihanna Fenty di St Michael, Barbados pada tanggal 20 Februari 1988, kehidupan zaman kanak-kanak penyanyi ini tidaklah seindah yang disangka.

Ketika kecil, dia berdepan dengan sikap bapanya yang panas baran dan merupakan penagih kokain dan alkohol. Ia juga menjadi punca kepada perceraian kedua ibu bapanya ketika dia sedang meniti awal zaman remajanya dan cuma dengan menyanyi, Rihanna dapat melupakan seketika derita batinnya mengharung kehidupan bersama ibunya.

Rihanna mula mendapat perhatian penerbit muzik, Evan Rogers pada tahun 2003 ketika dia bersama dua temannya menghadiri sebuah sesi ujibakat.

“Saya masih ingat lagi bagaimana Rihanna masuk ke dalam bilik ujibakat, minit pertama dia mula menyanyi, seolah-olah dua lagi rakannya itu tidak wujud. Ketika itu dia membawakan lagu Emotion (Destiny’s Child) dan Hero (Mariah Carey).

“Sehinggakan ketua eksekutif Def Jam Records, Jay-Z mendengarnya, dia tidak teragak-agak menandatangani kontrak perjanjian enam album bersama Rihanna,” katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa sekitar tahun 2009.

Lagu berjudul Umbrella ternyata benar-benar membawa tuah buat penyanyi ini biarpun sebelum itu, lagu itu sebenarnya dibuat untuk Britney Spears yang kemudiannya turut ditolak dengan baik oleh Mary J Blige.

Kejayaan Rihanna juga tidak terhenti di situ. Empat buat album selepas itu menyaksikan Rihanna merangkul anugerah platinum dengan lagu seperti Disturbia, Take a Bow, Only Girl (In the World), S&M, Diamonds, We Found Love dan Stay mengikut jejak langkah Umbrella dalam rangkaian carta lagu terlaris dunia.

Tidak cuma itu, Rihanna juga mara sebagai penyanyi solo termuda yang mampu meraih carta nombor satu hits dengan enam anugerah Grammy berada di genggamannya dengan dijangkakan jumlah kekayaan yang dimiliki olehnya secara kasar adalah sebanyak AS$230 juta (RM964.463 juta).

Fesyen mogul

Mula bermain dengan imej ala seks simbol pada tahun 2011, Rihanna meraih perhatian industri fesyen dunia. Dalam masa enam bulan penghasilan muzik video S&M, Rihanna muncul di kebanyakan muka depan majalah Vogue di Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Dilihat semakin bijak bergaya, Rihanna mula memilih jenama-jenama mahal dan eksklusif untuk disarung pada tubuh badannya namun kesemuanya umpama satu perjudian yang menjadi dan mendapat perhatian ramai sehinggakan Rihanna pernah menerima pujian daripada Stella McCartney yang menggelar penyanyi itu sebagai seorang artis yang seksi, paling berbakat, paling digemari, paling didengari, paling banyak pengikut dan paling mengagumkan setakat ini.

Tom Ford juga pernah memuji Rihanna dan mengangkat penyanyi ini sebagai seorang yang berani dalam fesyen dan sentiasa bijak bermain dengan evolusi fesyen itu sendiri.

Masih ingat bagaimana dia muncul berani dengan memakai busana Guo Pei berwarna kuning menyala ketika muncul di karpet merah acara Met Gala pada tahun 2015? Ramai yang memuji tindakan beraninya itu dan tidak kurang juga ada yang mencemuhnya dengan menyamakan busana itu dengan telur dadar.

Bagaimanapun, selepas itu, Rihanna digelar sebagai mogul fesyen oleh kebanyakan pengkritik fesyen dunia. Malah, kalau hendak tahu, ada beberapa pereka fesyen terkemuka dunia turut mengikut cara dan idea Rihanna dalam pengaruh fesyen.

Meski sudah mencapai gelaran mogul fesyen, Rihanna seakan-akan sukar menolak keinginannya untuk meneroka karier lain dan kemudian dia mengejutkan ramai peminat menerusi keputusannya untuk berlakon dalam filem sains fiksyen berjudul Valerian dan The City of A Thousand Planets.

Menerusi filem itu, Rihanna terbabit berlakon bersama pelakon senior, Sandra Bullock, Anne Hathaway dan Mindy Kaling yang akan mana filem itu dijangka akan menemui peminat pada tahun depan.

Tahu bahawa ramai yang mempersoalkan banyak projek yang dikendalikan oleh Rihanna dalam satu masa, penyanyi yang kini dikaitkan bercinta dengan jutawan Arab Saudi, Hassan Jameel ini bagaimanapun mengaku tidak pernah terfikir untuk mengubah keadaan itu.

“Memang adakalanya kehidupan saya nampak sibuk dan secara kasarnya sukar. Tetapi saya suka dengan apa yang saya lakukan. Saya cintakan dunia fesyen, dunia nyanyian, kosmetik dan saya suka untuk sedikit sebanyak menyumbang kepada masyarakat dalam konteks itu.

“Saya percaya, bila saya lakukan apa yang saya suka, ia tidak akan terasa ia seperti satu pekerjaan. Semuanya akan dipenuhi dengan keterujaan dan sudah tentulah saya seronok,” katanya.