Yang turut terlibat dalam album yang diuruskan oleh Padi Records itu ialah penyanyi dari Thailand, Ammy Fara, manakala artis Indonesia terdiri daripada Camelia Malik, Cici Faramida, Nassar, Darmansyah, Iyeth Bustami dan Kiki KDI.

Mereka terpilih untuk menjayakan album Symphony Tembang Melayu yang dicetuskan oleh Siti Hardijanti Rukmana atau Mbak Tutut yang merupakan anak sulung bekas Presiden kedua Republik Indonesia, Soeharto.

Syura yang mendendangkan dua lagu, Bersambut Kata dan Selamat Pagi Cinta berkongsi keceriaannya dengan peluang yang diberikan dengan Mega HITS.

“Siapa yang tak terkejut apabila diberitahu yang saya bakal menyanyi dalam satu album sama dengan artis top Indonesia. Saya dibawa ke Jakarta, Indonesia oleh pemilik Padi Records, abang Ayob awal Januari lalu untuk bertemu dengan Mbak Tutut yang sangat ramah. Maklumlah, dia bukan orang biasa-biasa macam kita ini.

“Lebih membuatkan saya terkejut, pada perjumpaan itu selain menyanyi di hadapannya, saya dapat tahu yang dia mempunyai koleksi album saya, Senandung Melayu dan Firus,” ceritanya.

Pernah menyertai pertandingan Dangdut Academy Asia 2 pada 2016, Syura memberitahu, lagu Bersambut Kata dan Selamat Pagi Cinta yang diberikan kepadanya berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dirakam sebelum ini.

“Sebenarnya semua lagu dalam album itu adalah ciptaan dan lirik oleh Mbak Tutut. Irama Bersambut Kata seperti lagu Melayu yang mempunyai unsur joget dan hadrah. Sementara lagu Selamat Pagi Cinta seperti balada yang ada elemen kemelayuan.

“Rakaman lagu telah dilakukan di studio Pak Ngah kerana ketika itu saya menyertai program Gegar Vaganza, jadi saya tidak ada masa berulang alik ke Indonesia.

“Alhamdulillah, kru dari sana datang dan bila lagu itu diperdengar kepada Mbak Tutut, dia berpuas hati,” katanya.

Peluang itu bukan sekadar ruang untuk Syura mencipta nama di Indonesia selepas program Dangdut Academy Asia 2, malah secara tidak langsung memperkukuh lagi kedudukannya di sana.

Ini kerana selepas album tersebut berada di pasaran dan selesai promosi, mereka bercadang untuk mengadakan konsert di Indonesia, Januari tahun hadapan.