Ramai yang berpuas hati dengan kemenangan Namron sebagai Pelakon Lelaki Terbaik kerana kemenangan itu disifatkan sangat layak dengan kemampuan dan lakonan yang diberikan lelaki itu dalam filem Redha.

Hakikatnya pada malam itu, kemenangan yang dimiliki Namron bukanlah sekadar trofi sahaja, sebaliknya, ada rasa yang ingin dikongsi bersama masyarakat iaitu ketaksuban segelintir penerbit terhadap pelakon berwajah komersial.

Tegasnya, selama ini, penerbit hanya berpendapat, pelakon kacak dan jelita sahaja yang boleh ‘buat duit’ berbanding pelakon-pelakon yang tidak memiliki nilai-nilai berkenaan.

Hakikatnya kata Namron, pelakon berwajah komersial atau tidak bukanlah penyumbang utama kepada kejayaan sesebuah filem.

“Penerbit yang mengharapkan pelakon komersial sebagai taruhan utama dalam filem mereka sebenarnya adalah seorang yang malas.

“Saya cakap malas kerana mereka menggunakan cara yang mudah untuk menarik orang ke pawagam, sekali gus usaha untuk meningkatkan mutu pada filem itu berkurangan,” jelasnya kepada wartawan selepas diumumkan sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik FFM29.

Kata Namron lagi, apa yang sepatutnya diberi tumpuan oleh penerbit ialah kerja-kerja pembikinan dan menghasilkan karya dengan tempo cerita yang baik serta kuat.

Jika perkara itu dapat dilaksanakan di mana jalan cerita diberi keutamaan, Namron optimis, percaya itu akan menjadikan sesebuah filem mencapai tahap komersial.

“Bila masyarakat mula menilai jalan cerita yang baik, kita sudah tidak perlukan lagi pelakon-pelakon komersial kerana pelakon yang hebat dalam filem itu akan mendapat tempias daripada komersial sesebuah filem.

“Saya percaya pada karya yang sepatutnya dikomersialkan. Memang benar, bila cakap pasal filem, ia bukan terletak bawah kesusasteraan, sebaliknya filem berada bawah cabang seni dan hiburan. Bila ada sahaja hiburan, kita semestinya memerlukan audiens dan mereka pula akan menilai tahap komersial sesebuah filem.

“Jika filem-filem dengan jalan cerita yang bermutu dan sinematografi yang baik ini menjadi tanda aras komersial pada penonton, saya pasti wajah yang komersial bukan lagi isu utama untuk menarik penonton,” jelasnya.

Bercakap mengenai pemilihan karya pula, Namron berkata, sebagai pelakon yang ‘tidak ada rupa’ dan hanya berbekalkan pada bakat, dia tidak pernah memilih skrip yang ditawarkan padanya.

Baginya, setiap tawaran itu adalah rezeki dan barangkali disebabkan ‘tidak punya rupa’, skrip dan watak-watak yang menarik sering diterimanya.

Begitu juga dengan kemenangannya di FFM menerusi filem Redha yang berlaku secara kebetulan kerana selepas begitu lama tidak menjadi teraju pada sebuah karya, namanya tiba-tiba tercalon dan membuahkan hasil yang lumayan.

“Menerusi kemenangan ini, saya harap ada produksi yang percaya pada saya untuk menjadi teraju utama filem mereka. Lagipun, saya tahu ada pengarah dan penerbit di luar yang percaya dengan kemampuan saya untuk menggalas watak utama dalam filem mereka,” luahnya.

Ketika ini, Namron sedang menantikan empat buah filem yang bakal keluar nanti iaitu Mencari Rahmat, Penculikan Amar Affendi, Safari Mall dan Suatu Ketika.

Jalan baharu buat June Lojong

SEPERTI mana Namron yang kurang laris di gelanggang perfileman arus perdana, demikian juga dengan isterinya, June Lojong yang juga kurang dikenali.

Hakikatnya, bakat lakonan June sudah diiktiraf bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara.

Barangkali, ramai yang tidak tahu, individu yang mula mengesan bakat lakonan June ialah suaminya sendiri.

Namron sering menawarkan June berlakon bawah teater arahannya sejak mereka sama-sama menimba ilmu di Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara).

Apa yang menarik mengenai June atau nama sebenarnya Junaidah M. Lojong ialah, dia merupakan lulusan dalam bidang tarian tetapi mempunyai bakat yang tinggi dalam lakonan.

Tetapi menurut Namron, selepas dia kecewa kerana gagal dalam usahanya untuk menghabiskan pengajian dalam ijazah sarjana dalam tarian, wanita ini mula menjauhkan diri dari dunia seni.

“Disebabkan kekecewaan itu, dia menolak untuk terlibat dengan dunia seni bahkan untuk berlakon filem Redha pun pada awalnya dia menolak sedangkan pengarah ketika itu memang mahukan saya berlakon bersama isteri kerana ada banyak adegan bersentuhan dalam itu dan sensitiviti penonton perlu dijaga.

“Setelah berfikir lama, barulah isteri saya setuju dan akhirnya, bakat dia dalam lakonan diiktiraf. Itu sesuatu yang membanggakan,” jelas Namron.

FFM29 menjadi malam paling istimewa kerana selain Namron yang meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, June pula ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Harapan.

Sebelum ini, June pernah meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Filipina 2016.

Menurut ibu kepada tiga orang anak ini, Namron sentiasa menjadi pendukung semangat buatnya untuk meneruskan usaha dalam dunia seni.

Tetapi, dia sendiri yang masih dalam fasa berbolak-balik sama ada mahu meneruskan langkah atau berhenti seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Saya pun tidak pasti. Apa yang saya boleh katakan, Insya-Allah jika ada tawaran, saya akan berlakon. Semua itu akan difikirkan dahulu.

“Sebelum ini pun saya sudah menolak banyak tawaran lakonan disebabkan anak-anak yang masih kecil. Tetapi selepas ini saya akan cuba fikirkan. Barangkali ini adalah pembuka jalan untuk saya terus berlakon,” jelas June.

Ditanya adakah dia akan lebih memilih watak selepas ini, June berkata, sememangnya kandungan dan watak dalam filem akan dinilai terlebih dahulu.

June juga secara peribadi lebih selesa membawakan watak yang bermain dalam lingkungan dirinya dan bukan yang terlalu melebih-lebih.

Sebagai suami, tiada apa yang menggembirakan Namron selain bersyukur dengan kemenangan isterinya yang dianggap sebagai sebuah permulaan baharu dalam kerjaya seni June.

“Selepas gagal dalam peringkat sarjana, memang dia (June) tertekan dan lari dari dunia seni. Tetapi, bila Redha mula mendapat pengiktirafan, June mula terbuka dengan dunia seni,” jelasnya.

Bagi Namron, Redha bukan sekadar kejayaan berganda bagi keluarganya, tetapi membuka sebuah lembaran baharu dalam kehidupan seni dan isterinya.