Namun, semuanya berbeza bagi Ezad Lazim yang pernah menjadi vokalis paling lama dalam kumpulan Exist.

Rezeki Ezad untuk mengadakan konsert bersama kumpulan Exist nampaknya hadir selepas dia keluar daripada kumpulan itu.

“Untuk mengadakan sebuah konsert di pentas besar seperti Istana Budaya sememangnya menjadi impian sejak saya bersama Exist lagi.

“Alhamdulillah, rezeki itu datang selepas kami berpecah. Kerjasama bagi kami tiada masalah kerana kami tidak bergaduh dan masih kekal baik hingga kini,” jelasnya.

Exist kini dianggotai oleh Along, Shah, Ujang dan Musa.

Ezad bersama kumpulan Exist akan membuat persembahan sempena The Blues Jean Concert pada 23 Oktober depan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Turut membuat persembahan pada konsert tersebut ialah May yang menemui peminat pada 24 Oktober sebelum diakhiri dengan Blues Gang pada 25 Oktober depan.

Mengulas mengenai kerjasama itu, jelas Ezad, dia tidak mengambil tempat Joey yang kini sedang bersama dengan kumpulan itu.

“Kerjasama antara saya dan Exist hanya untuk projek istimewa sahaja, bukan untuk menggantikan Joey. Jadi tiada masalah mengenai perkara itu,” jelasnya.

Kali terakhir mereka melakukan persembahan bersama ketika mengadakan mini konsert di Hard Rock Cafe Melaka, Ogos tahun lalu.

Mengakui rasa teruja kerana pertama kali mengadakan persembahan di Istana Budaya, jelas Ezad, banyak perkara yang perlu dirancang untuk perjalanan konsert itu.

“Perjalanan konsert itu nanti sudah pasti penonton akan didendangkan dengan semua lagu yang pernah dipopularkan Exist sejak awal penubuhan kumpulan lagi

“Daripada segi lagu, durasi persembahan adalah selama dua jam dan kemungkinan sebanyak 18 ke 20 lagu akan didendangkan,” jelasnya.

Tambah Ezad, mereka juga sudah merancang untuk mengadakan sebuah lagi konsert khusus buat peminat sempena ulang tahun ke-25 penubuhan mereka.

“Kami menganggap konsert itu ibarat reunion kerana semua vokalis yang pernah bersama Exist termasuk Ajai dan Mamat juga akan turut dijemput,” katanya.

Mahu melupakan kisah lama antara dia dan Exist, jelas Ezad, mereka semua sudah matang dan fokus hanya mahu menghiburkan peminat Exist.

Malah, Ezad juga berharap, kolaborasi mereka tidak terhenti hanya pada konsert itu sahaja, sebaliknya bergabung untuk menghasilkan sebuah album baharu.

Tiket untuk konsert The Blues Jean Concert dijual bermula RM50 hingga RM250. Tempahan dan maklumat lanjut boleh dibuat menerusi laman www.ticket2u.biz. - Gambar AZLAN HADI ABU BAKAR