Kata Hafeez, dia percaya dengan rezeki yang sudah ditentukan dan tidak takut untuk terus memperjuangkan haknya pada masa hadapan.

“Saya percaya dengan rezeki saya dalam bidang ini, malah syarikat produksi bukan satu sahaja dalam Malaysia.

“Jujurnya selepas kejadian itu, tiada ada apa impak pun kepada kerjaya saya. Semuanya masih berjalan lancar,” katanya kepada Utusan Online.

Kemelut antara Hafeez dan Ziela tercetus apabila syarikat produksi Pena Creative Sdn. Bhd. milik Ziela didakwa lambat membuat bayaran kepada beberapa pelakon telefilem terbitannya yang menjalani penggambaran di Cardiff, Wales.

Menolak dia cuba mencari perhatian dalam soal ini, kata Hafeez, kenyataan yang mengatakan dia cuba menimbulkan kecohan juga tidak benar. Katanya sepanjang menutut bayaran lakonannya dia kekal bersikap professional.

“Saya masih simpan butiran perbualan, jadi di mana yang saya bising-bising. Mengenai jumlah bayaran juga tidak betul, bukan RM4,000 tetapi RM7,000.

“Saya tidak faham kenapa dia tidak kenal saya, memandangkan kami berada dalam kumpulan Whats Apps, jadi sudah pastinya dia tahu apa yang berlaku,” katanya panjang lebar. - UTUSAN ONLINE