Rezeki Blues Gang

KUALA LUMPUR 17 Ogos 2016 - Sesi fotografi bersama Kumpulan The

HAMPIR 40 tahun mengabdikan diri dalam bidang seni, nama Blues Gang tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan mereka antara kumpulan yang masih terus bertahan.

Selain menjaga kualiti dan produk yang baik sejak dahulu, soal kerukunan turut menjadi tunjang kepada kekuatan Blues Gang. Kuat memegang prinsip setiakawan pastinya menjadi asas untuk kekal bertahan sehingga kini.

Dengan ditunjang oleh ito yang begitu pekat dengan dialek Negeri Sembilan, semangat ahli kumpulan ini masih kuat. Tentunya keringat Julian Mokthar, Abdul Ghani, Jim Madasamy, Sheik Karim dan Hazizi Ithnin menjadi pembakar semangat untuk mereka bertahan.

“Semua anggota masih bersemangat memberikan yang terbaik. Kami beruntung kerana orang masih percayakan kualiti yang ada dalam kumpulan ini dengan memberikan peluang untuk melakukan persembahan menghiburkan peminat di serata negara,” ungkap Ito.

Terkini, mereka bakal mengadakan persembahan di Istana Budaya sempena konsert The Return Of The Legends dengan kumpulan The Strollers dan Lord & The Boys.

Pastinya konsert yang menggabungkan kumpulan yang kaya dengan pengalaman itu memberikan dimensi baharu buat peminat yang masih belum lagi mengenali kehebatan tiga kumpulan yang pernah menggegarkan industri muzik tanah air lewat 1970-an dan 1980-an ini.

Selain tiga kumpulan ini, konsert yang bakal diadakan hanya satu malam pada tanggal 17 September ini turut diserikan dengan persembahan kumpulan Dendang Anak Ahmad Faseeh dan Steve Steel selaku pemain drum undangan.

“Pastinya kami berbesar hati memandangkan ini akan menjadi kenangan manis apabila Blues Gang bermain buat kali pertama di Istana Budaya.

"Secara peribadinya saya pernah menyanyi solo di dewan itu sebelum ini. Tapi untuk anggota kumpulan lain, ini merupakan pengalaman pertama mereka.

"Pastinya kami menjanjikan persembahan yang istimewa buat penonton yang hadir nanti,” kata Ito lagi.

TERUJA

MENGANGGAP semua ini merupakan rezeki tertunda buat mereka, setiap anggota Blues Gang bersyukur yang rezeki mereka masih ada untuk bermain di atas pentas bertaraf dunia tersebut.

Terdahulu, mereka sepatutnya mengadakan Konsert The Blue Jeans pada Disember lalu dengan kumpulan Exist dan May. Namun perancangan tersebut terpaksa ditangguh atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mengakui yang dia tidak pernah menyimpan perasaan terkilan atau sedih, Ito memahami yang perkara berkenaan tidak dapat dilakukan disebabkan kekangan masa dan beberapa hal bertindih yang berlaku kepada pihak penganjur.

“Saya tak terkilan memandangkan mereka memberikan penerangan padat mengapa konsert ini tak dapat diteruskan. Lebih baik ditangguhkan dahulu daripada memberikan kesan kurang baik kepada setiap kumpulan yang terlibat.

“Apabila melibatkan konsert besar, soal kehadiran penonton perlu diambil kira. Kami sendiri tidak akan senang hati kalau bermain tanpa kehadiran penonton dalam mana-mana persembahan sekalipun.

“Jadi keputusan untuk menangguhkan Konsert The Blue Jeans ketika itu tepat. Sekarang rezeki kami bersama-sama kumpulan lain pula tetapi di pentas yang sama. Kata orang rezeki itu tetap ada walaupun lambat,” jelasnya lagi.

Menerusi Konsert Return Of The Legends, mereka bakal mempersembahkan lebih 10 buah lagu popular termasuklah Apo Nak Di Kato, Khatulistiwa dan Mak Siti.

Tiket-tiket untuk persembahan dijual pada harga RM88, RM188, RM288, RM388 dan RM488. Layari redtix.airasia.com untuk pembelian secara atas talian.

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati