Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang menyaksikan kedua-dua ibu bapanya bercerai, Remy memberitahu dia tidak mahu menempuhi ‘ketakutan’ tersebut yang sering menjadi igauan buruk hubungan suami isteri.

“Disebabkan itu, saya ambil masa yang agak lama untuk mendirikan rumah tangga. Banyak persediaan yang perlu dirapikan supaya bahtera yang dikemudi tidak terumbang-ambing.

“Lagipun, pertunangan saya baru sahaja diikat, belum sampai setahun. Kami bertunang pada pertengahan tahun lalu. Saya tak menjangka akan berkahwin tahun ini.

“Tempoh pertunangan itu boleh jadi setahun atau lebih. Bukan mudah nak pikul tanggungjawab sebagai suami. Banyak persiapan yang perlu dilakukan.

“Saya tengah kerja keras untuk kumpul duit. Bukan hanya untuk menyimpulkan erat silaturrahim, bahkan perlu memastikan masa depan berjalan lancar,” katanya kepada Utusan Online.

Remy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran pakej percutian Kowamas Holidays bersama kelab peminatnya di D’Tunjong Banquet Hall, Kota Damansara, di sini.

Terdahulu, Remy telah mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan, Roszaliza Yusof pada Mei lalu dan belum membuat keputusan muktamad mengenai tarikh pernikahan mereka.

Pelakon itu juga tidak menafikan dia berhadapan cabaran sama dengan pasangan lain yang sudah bertunang.

“Seperti biasa, dalam sesebuah hubungan ada turun naiknya. Orang tua-tua asam garam. Tetapi itulah yang mematangkan kami berdua,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE