Jika diselak kembali lembaran sejarah industri penerbitan program realiti televisyen, ledakan sebenar telah berlaku pada tahun 2000 menerusi penerbitan program Survivor di Amerika Syarikat (AS) dan Big Brothers di Eropah.

Survivor dan Big Brothers telah mencetus rasa minat yang mendalam dalam kalangan masyarakat penonton di kedua-dua negara itu dan di seluruh dunia.

Selang tiga tahun selepas itu, stesen televisyen satelit pertama negara, Astro mengorak langkah memperkenal kepada khalayak penonton Malaysia dengan program realiti pertama, Akademi Fantasia atau lebih sinonim dengan AF.

Pada peringkat awal AF ditayangkan, agak kurang rasa peduli masyarakat terhadap program yang disifatkan terlalu asing dalam budaya dan amalan tontonan golongan penonton tegar televisyen.

Sehinggalah beberapa minggu selepas musim pertama AF ditayangkan, perhatian masyarakat terhadap program nyanyian realiti itu berubah secara total.

Kegilaan orang ramai terhadap AF meningkat berkali ganda sehingga Astro sendiri tidak pernah menjangka stesen itu berupaya menghimpunkan sebilangan besar keluarga di Malaysia duduk bersama-sama menonton di rumah.

Jauh lebih utama, Astro sendiri tidak mampu menafikan bagaimana AF sebetulnya menjadi rancangan yang menjana pendapatan luar biasa bagi stesen berkenaan ekoran jumlah pelanggan meningkat secara mendadak selain pengiklan mula berminat untuk menjadi sebahagian daripada sejarah.

Apabila AF memperkenal kuasa memilih bintang baharu dalam industri hiburan kepada orang ramai, itu sebetulnya satu transformasi dalam revolusi industri hiburan tanah air.

Peminat sanggup berhabisan semata-mata untuk mengundi bintang kesukaan mereka yang menyahut cabaran dalam program realiti yang diadaptasi daripada program La Academia terbitan Mexico.

Lantaran keberanian AF membuat keputusan menyerahkan pada peminat untuk membuat undian maka terdengar keluh-kesah daripada orang industri hiburan, pendekatan itu hanya akan menyebabkan bakat yang dilahirkan tidak menepati standard piawaian.

Justeru, label bintang ‘mi segera’ dikaitkan dengan penyanyi-penyanyi kelahiran AF yang hanya bersandarkan kepada populariti semata-mata sedangkan realitinya ‘budak-budak’ baharu itu dikuarantin di asrama dan diberikan latihan intensif oleh tenaga-tenaga pengajar yang berpengalaman.

Namun persepsi bahawa AF melahirkan bintang ‘mi segera’ melekat dalam tempoh yang agak lama sehinggalah Astro bertindak keluar dari zon selesa dengan menerbitkan edisi sulung AF Megastar yang berlangsung beberapa bulan lalu yang menukar pandangan sinis orang ramai terhadap penyanyi-penyanyi kelahiran program realiti itu.

Disindir dan dikritik oleh masyarakat dan media mengenai objektif penerbitan AF bagaimanapun tidak pernah menjadi halangan buat Astro untuk terus membantu industri hiburan melahirkan penyanyi baharu.

Ini kerana, kata Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Harris, kritikan, kecaman atau sindiran orang ramai menunjukkan AF memiliki pengaruh, sekali gus diyakini sebagai sebuah platform melatih bintang-bintang baharu.

Tegas Namanzee, usaha melahirkan bintang-bintang seperti Vincent (Vince) yang juga juara sulung AF, Zahid (AF2) atau Mawi (AF3) serta penyanyi-penyanyi terkenal seperti Akim & The Majistret, Idayu, Mila, Syamel, Marsha dan ramai lagi bukan dilakukan secara ambil mudah sahaja.

Sebaliknya, krew produksi AF ujarnya, bekerja hampir setahun lamanya untuk menjejaki bintang-bintang berkenaan.

“Sebelum media dan khalayak menonton mereka selama 10 minggu, kami telah mula bekerja selama setahun untuk mencungkil bakat baharu.

“Kami tidak boleh kekang yang berlaku termasuk kritikan media kerana pada akhirnya perkara seumpama inilah yang memberi dorongan untuk penghasilan AF yang seterusnya,” kata Namanzee dalam pertemuan dengan Mega Hits baru-baru ini.

Turut serta dalam pertemuan itu bagi berkongsi pandangan kejayaan AF ialah Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad dan Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal.

Namanzee yang juga antara orang terawal mendampingi AF turut memberitahu, matlamat program itu semata-mata untuk melahirkan pewaris gelanggang muzik tanah air.

Sekalipun AF dilihat sebagai ‘kilang’ pencarian penyanyi baharu, Namanzee mengajak masyarakat untuk menjadi lebih realistik bahawa program itu sehingga kini kekal sebagai sebuah platform yang paling berjaya melahirkan artis-artis ternama tanah air.

Hal itu diakui apabila AF diiktiraf sebagai Rancangan Nyanyian Realiti Televisyen Paling Lama Berlangsung oleh Malaysia Book of Records.

Rekod itu diperoleh rentetan penerbitan edisi khas AF Megastar yang kembali menghimpunkan bekas pemenang dan peserta program kembali menguji keupayaan dan bakat nyanyian mereka.

AF dan eksperimen sosial

JAUH meneroka pemikiran Namanzee mengenai AF yang sangat sebati dengan jiwa besarnya dalam kerja-kerja produksi, beliau turut merumuskan program realiti itu jangan hanya disudutkan pemahamannya sebagai platform melahirkan penyanyi-penyanyi baharu semata-mata.

Sebaliknya, Namanzee lebih gemar mengajak khalayak untuk melihat AF dari perspektif yang lebih besar khususnya dalam kerangka industri hiburan tanah air.

Paling tepat, ujar Namanzee, AF merupakan satu eksperimen sosial yang telah memberi impak besar terhadap perjalanan karier peserta serta industri hiburan itu sendiri.

Dalam mempertahan pendapatnya itu, Namanzee berkata, Astro tidak pernah membuat ketetapan atau merancang apa sahaja yang dilihat dalam diri peserta termasuk keperibadian mereka yang dipertonton sepanjang program itu berlangsung.

“Sebenarnya AF adalah satu eksperimen sosial dengan kita melihat sikap manusia dan tentulah merupakan medan mencungkil bakat untuk dimasukkan dalam sebuah program realiti.

“Sepanjang 13 tahun bersiaran dengan ada tahun yang kami berehat, menggunakan pendekatan berbeza dan berusaha memberikan yang terbaik buat penonton, AF sebenarnya sudah menjadi satu jenama kukuh yang dipercayai bukan sahaja oleh pengiklan tetapi juga masyarakat.

“Oleh kerana elemen itu, musim baharu AF perlu ada,” katanya lagi.

Cetusan fenomena yang berpanjangan daripada orang ramai juga sekali gus, kata Namanzee, menjadikan jenama AF diyakini para pengiklan yang akhirnya ekosistem yang baik dan jalinan kerja berpanjangan sesama mereka. Justeru, pada bila-bila masa sahaja seandainya Astro mahu menerbitkan edisi baharu AF, soal mencari tajaan bukan hal yang membebankan.

Namun, Namanzee juga mengakui, ada keperluannya AF memperluas pengaruhnya seiring dengan trend dan kepesatan teknologi.

“Sebagai contoh, untuk beberapa musim terakhir kami telah membuka sistem penyertaan secara dalam talian selepas banyak bakat baharu menggunakan media sosial untuk mempamerkan kebolehan mereka. Namun pihak produksi tidak pernah meninggalkan kaedah tradisional iaitu dengan mencari bakat di seluruh Malaysia kerana masalah yang dihadapi apabila menerima penyertaan secara dalam talian adalah keperluan fizikal dan bakat tidak segah yang dipertonton,” katanya.

AF juga pernah menampilkan perubahan dengan menukar format diari harian diganti dengan kapsul yang akhirnya mempengaruhi pola tontonan dan ‘keintiman’ penonton dengan para peserta.

“Apabila kita menukar format diari kepada kapsul, banyak perbezaan dan penerimaan yang diterima. Bagaimanapun kami perlu bersedia dengan setiap perubahan yang dilakukan,” jelas Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad pula.

Sementara transformasi yang pernah dilakukan terhadap format penerbitan AF pula dilihat berlaku pada AF2013 (musim ke-10) apabila Astro membuat keputusan menampilkan tiga nama besar dalam industri hiburan Malaysia dan Indonesia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Melly Goeslaw sebagai Inspirer.

Apakah tindakan itu memberikan impak atau menepati aspirasi Astro ketika itu? Menjawab soalan itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal memberitahu, terdapat dua pendapat iaitu setuju dan tidak dengan cara Astro meletakkan tiga figura ternama itu sebagai Inspirer.

Menurut Emarina, hasrat asal Astro ialah mahu memberikan pembaharuan pada 2013 selepas AF berehat selama tahun dan itulah eksperimen yang dibuat.

“Selepas AF9, kami berehat selama dua tahun dan untuk memulakan musim baharu, AF perlukan perubahan. Justeru, kita muncul dengan format Inspirer yang diakui menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peserta sewaktu bertanding.

Bagaimanapun, apabila mereka keluar dari program tersebut barulah kita nampak ada banyak peserta AF2013 yang mampu mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dengan baik seperti duo Hael, Aisyah Aziz dan Amira Othman,” kata Emarina.

Astro akhirnya membuat keputusan untuk mengembalikan semua format asal AF menerusi tiga kemunculan terakhir iaitu AF2014, AF2015 dan AF2016 dengan sistem undian masih pada tangan peminat.

Bagaimanapun, corak undian sudah dlihat berbeza apabila khalayak tidak lagi mengutamakan rupa paras sebagai faktor ‘wajib’ menang. Sebaliknya, khalayak sudah mula mendahulukan bakat. Itu perkara yang melegakan pihak mereka.

“Saya harus akui dengan mengguna pakai format undian keseluruhan pada tangan peminat, ada bakat yang tercicir terlalu awal seperti Aizat, Ayda Jebat dan Idayu. Namun mereka kini menjadi ‘besar’ dalam industri kerana kerja keras dan menggunakan platform awal AF untuk menjadi anak seni yang sebenar,” ujar Namanzee pula.

Datuk Aznil Nawawi merupakan pengacara paling lama mengendalikan AF iaitu bermula AF1 hingga AF5 sebelum mengundurkan diri. Tempat Aznil kemudiannya diambil alih oleh Datuk AC Mizal untuk AF6 dan AF7. AF8 pula dikendalikan oleh Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley. Pada AF9 Aznil kembali semula menghiasi program itu untuk setahun sebelum diganti oleh Zizan Razak pada AF2013. Pada AF2014, Faizal Ismail pula diberikan tanggungjawab manakala pada AF2015 dan AF2016, Zizan digandingkan dengan Alif Satar sebagai pengacara.

Lagu tema AF ialah Menuju Puncak ciptaan komposer ternama, Aubrey Suwito. Lagu berkenaan dinyanyikan oleh adik komposer itu sendiri, Juwita Suwito.

Akademi Fantasia (AF) diterbitkan berdasarkan program asal La Academia dari Mexico. Malaysia merupakan negara pertama yang menerbitkannya di rantau ini diikuti Indonesia dan Thailand serta Singapura. Siaran pertama AF ialah 
pada 6 Jun 2003.

AF juga merentasi pelbagai kaum apabila terdapat peserta bukan Melayu seperti Vince yang juga juara sulung AF menyertainya. Tidak ketinggalan Burn dan Stacy juga pernah menyertai pertandingan ini.

Juara AF3, Asmawi Ani atau Mawi merupakan satu-satunya bintang kelahiran AF yang mencipta fenomena luar biasa. Dengan imej Islamik menyebabkan populariti Mawi melonjak dengan pantas.

Pengetua sulung AF ialah Datuk Freddie Fernandez, manakala tokoh lain yang pernah menjadi pengetua ialah Datuk Ramli MS gambar kiri), Datuk M. Nasir, Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk Shake, Datuk Ramli Sarip, Roslan Aziz, Datuk Norman Abdul Halim, Amy Search dan Datuk Hattan.

Mila merupakan peserta wanita pertama yang menjuarai AF iaitu pada musim ke-5 dan kemudian diikuti oleh Stacy juara AF6.