Malah, menjalani kehidupan sebagai wanita solo tidak membuatkan penyanyi ini dihambat rasa kekurangan dan bersedih dengan nasib diri.

Frasa hidupnya tetap indah dengan lingkungan rakan-rakan dan keluarga yang sentiasa menceriakan hatinya.

“Mungkin sudah biasa agaknya, tetapi saat ini kehidupan saya bahagia. Sibuk dengan kerja dan jika ada waktu terluang akan dihabiskan bersama anak sahaja.

“Buat masa ini saya tidak meletakkan harapan atau mencari suami. Lebih senang saja begini, soal jodoh adalah sesuatu yang sudah ditentukan.

“Jika benar tidak akan berkahwin lagi, soalnya saat ini juga saya sudah reda,” kata Rossa yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain dram kumpulan Padi, Surendro Prasetyo atau Yoyo.

Mengakui lebih senang berkawan, bagi Rossa, sebagai seorang wanita yang matang, fokus utamanya adalah untuk membahagiakan dirinya dahulu sebelum mampu mengukir senyuman pada wajah insan lain.

“Berkawan itu ada tetapi tiada yang saya lihat sebagai calon yang boleh dijadikan pasangan hidup. Saya sudah sangat bahagia dengan kehidupan yang dilalui sebagai seorang ibu kepada Rizky Langit Ramadhan yang kini berusia 12 tahun.

“Bagi menjalani kehidupan ini juga tidak ada apa yang  perlu saya korbankan untuk berasa bahagia. Kawan-kawan  adalah antara sebab saya ketawa,” katanya positif.

Terus dikaitkan dengan penyanyi Afgan yang 11 tahun lebih muda, baru-baru ini juga Rossa dikatakan sudah berkahwin secara rahsia dengan rakan baiknya itu. 

Hanya tertawa menjawab persoalan itu, kata anak kelahiran  Sumedang, Jawa Barat ini, hal itu tidak mungkin berlaku.

“Saya lihat juga video yang diletakkan dalam YouTube, hairannya tidak ada yang menggambarkan kami sudah berkahwin. Saya dan Afgan sendiri hanya ketawa melihat video tersebut.

“Buat masa ini kami tiada  hubungan cinta,   sekadar teman sahaja,” katanya lagi.