Bagaimanapun pada usianya mencecah 20 tahun, segala-galanya mengenai Aidilfitri sudah berubah buat Aiman kerana sambutan bukan lagi sekadar detik untuk berbalas kemaafan, sebaliknya penyanyi muda itu juga perlu menyiapkan diri untuk bertemu peminat sekalipun pada awal subuh hari raya.

Masakan tidak, populariti yang diraih pasti membuatkan peminat naik histeria melihatnya.

Ditanya bagaimana beraya sebagai seorang artis, Aiman berkata, sambutan masih sama, namun kemeriahan tentu sekali berganda dengan kehadiran para peminat.

“Pernah sekali ada peminat datang pagi-pagi. Ketika itu saya belum siap pun lagi. Rumah pun tidak kemas dan hidangan belum disediakan. Hendak buat bagaimana, kita hulur duit raya sahajalah.

“Berbeza juga beraya sebagai artis ini. Kita kena siapkan diri untuk menerima tetamu tidak kira waktu. Alhamdulillah, itu semua rezeki. Saya bersyukur dan gembira.

“Kalau cakap fasal penat itu memang ada. Tak menang tangan melayan peminat dan ahli keluarga yang datang. Tapi tanpa mereka, saya tidak akan kekal dalam industri seni selama ini,” katanya.

Mengambil kesempatan bercuti selama seminggu sempena Aidilfitri, Aiman berkata, dia akan memanfaatkan waktu itu untuk mengeratkan hubungan dengan keluarga selain akan meluangkan masa bercuti di destinasi pilihan.

Pada masa sama, semua persiapan untuk menyambut hari raya termasuk menyediakan duit raya sudah dilakukan awal-awal lagi kerana menyedari kerjaya sebagai anak seni menuntut komitmen tinggi, penyanyi Ku Rela Dibenci itu enggan tergopoh-gapah.

“Selalunya raya memang saya lebih banyak habiskan masa dengan keluarga. Bila lagi hendak bergembira bersama-sama, selalu kerja sahaja. Masih ingat masa saya kecil dulu, selalu keliling kampung naik basikal.

“Apabila sudah ada pendapatan tetap ini, saya dan keluarga pergi bercuti ketika lebaran. Macam tahun lepas, perbelanjaan ditampung saya seorang, tapi tahun ini kakak, Fara Hezel pun sama membantu.

“Kami akan bercuti pada hari raya kedua tetapi destinasi masih belum ditetapkan. Dalam negara sahaja. Macam tahun lepas, kami bercuti ke Sarawak, tahun ini belum tahu lagi,” katanya.

Bercerita tentang kenangan raya yang tidak dapat dilupakan, pantas Aiman tergelak besar. Masih melekat di kotak fikirannya pengalaman merebus ketupat sehingga hangus ketika dia masih bergelar kanak-kanak.

“Memang kelakar sangat ketika itu. Kita masih kecil, mana tahu apa-apa. Yang kita tahu hendak bermain dengan adik beradik dan saudara mara. Apabila mak suruh tengok ketupat di dapur, terus lupa kerana asyik bermain.

“Sebenarnya banyak juga kenangan ketika raya. Saya ada 10 adik beradik, jadi bayangkan ada pelbagai ragam yang menjadi memori indah setiap kali menyambut lebaran,” katanya.

Single baharu selepas raya

Membuka gelanggang cerita tentang kerjaya, Aiman memberitahu, dia bakal melancarkan dua buah single selepas raya. Bagaimanapun, kedua-dua single berkenaan hanya akan menemui para peminatnya satu persatu.

Kekal dengan genre sama, Aiman merasakan seorang penyanyi perlu sentiasa tampil dengan karya baharu supaya peminat tidak cepat bosan. Apatah lagi dengan saingan, dia perlu memantapkan strategi.

“Insya-Allah, lepas raya memang ada perancangan mahu tampil dengan single baharu. Malah, hujung tahun ini pun saya berhasrat melancarkan single lain. Tapi kali ini genrenya berbeza.

“Mungkin ramai yang akan terkejut apabila dengar lagu itu tetapi nanti dahulu ya. Kena lancar single satu per satu, tak boleh tamak dan tergopoh-gapah,” kata bintang popular yang menggemari biskut tart nanas dan semperit.

Apabila ditanya mengenai lakonan pula, Aiman mengakui, dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon daripada penerbit memandangkan dia belum bersedia untuk melebarkan kerjaya seninya itu selain lebih selesa untuk memberi fokus kepada bidang nyanyian.

Biarpun lakonannya dalam drama bersiri, Mak Cun mendapat pujian ramai, namun Aiman sekadar mahu mencuba ketika menerima tawaran membintangi drama yang cukup popular itu.

“Memang dapat dua tiga tawaran tetapi saya terpaksa tolak. Banyak juga dengar nasihat daripada artis senior supaya saya tidak menukar bidang daripada nyanyian ke lakonan.

“Saya sekadar mahu mencuba sahaja. Nyanyian tetap nombor satu. Lagipun saya rasa tak salah kalau saya hendak merasai pengalaman berlakon,” katanya yang bakal menyambut lebaran di kampung halamannya di Kerling, Kuala Kubu Bharu, Selangor.