Bagi orang nombor satu syarikat produksi ini, Suraya Ghani pastinya cabaran untuk menerbitkan telefilem ini disambut dengan tangan yang terbuka meskipun tahu yang dia perlu berhadapan dengan pelbagai syarat oleh beberapa pihak.

Mengikut naskhah asal tulisan Zabidi Mohamad pastinya kisah banduan di penjara menjadi inti pati utama kepada karya ini. Dek kerana itu juga sebahagian besar penggambaran dilakukan di Muzium Penjara, Bandar Hilir, Melaka bagi memberikan suasana sebenar keadaan di dalam penjara kepada penonton.

“Sebenarnya ini antara naskhah yang paling mencabar buat kami. Bukan mudah sebenarnya mahu melakukan penggambaran di Muzium Penjara memandangkan ia tertakluk kepada beberapa syarat dan peraturan.

“Kami juga perlu mematuhi etika dan gambaran sebenar yang berlaku kepada banduan-banduan yang sedang menjalani hukuman masing-masing. Setiap perkara tidak diambil mudah dan memerlukan ketelitian,” kata Suraya lagi.

Antara pelakon yang membintangi Antara 2 Raya terdiri daripada Fizz Fairuz, Zamarul Hisyam, Khaty Azean, Zarina Zanoordin dan beberapa pelakon lain lagi.

Menceritakan mengenai drama ini lagi, Suraya tidak menafikan yang mereka turut berhadapan dengan beberapa cabaran besar termasuklah perlu merombak skrip yang telah siap.

Jelasnya skrip perlu dihantar terlebih dahulu kepada Jabatan Penjara Malaysia dan mereka perlu mematuhi segala etika dan peraturan agar bertepatan dengan situasi sebenar keadaan di dalam penjara.

Walaupun skrip tersebut dirombak sebanyak dua kali, Suraya lega kerana akhirnya mereka dapat meneruskan penggambaran seperti mana yang dirancang di beberapa lokasi utama seperti Bandar Hilir, Melaka dan Linggi, Negeri Sembilan.

“Untungnya sepanjang penggambaran yang dilakukan di dalam Muzium Penjara dipantau oleh pegawai jabatan berkenaan. Para pelakon juga diberikan tunjuk ajar bagaimana untuk beraksi sebagai banduan dan apa yang perlu mereka lakukan.

“Semua soal ini tidak boleh diambil ringan termasuklah soal warna pakaian yang digunakan. Setiap warna baju mereka ada maksud tersendiri dan apa jenis hukuman yang sedang dilalui.

“Tidak semua orang mengetahui tentang perkara itu dan saya berbangga kerana dapat memberikan serba sedikit pengetahuan kepada penonton mengenai banduan secara amnya,” tambahnya.

Telefilem yang akan ditayangkan tahun hadapan di stesen televisyen RTM ini juga sarat dengan pendedahan dan pengajaran bertepatan dengan matlamat untuk memberikan hiburan berinformasi kepada semua.

Kepercayaan

MELETAKKAN kepercayaan sepenuhnya kepada pengarah, Raja Mukhriz untuk menentukan hala tuju Antara 2 Raya, Suraya tidak menafikan yang dia begitu teruja dengan kerjasama ini.

Memandangkan ini merupakan kerjasama pertama mereka, pastinya sentuhan emas Raja Mukriz ditagih apatah lagi dia baru sahaja diangkat menerusi telefilem Lorong Kecil Ke Syurga, Anugerah Skrin 2015.

“Sebenarnya sejak dahulu lagi saya memang berminat dengan drama-drama arahan Raja Mukhriz dan percaya dia mampu memberikan sesuatu yang menarik kepada setiap naskhah.

“Dia juga telah berjaya membuktikan menerusi beberapa karya sebelum ini yang sudah diiktiraf dalam beberapa siri anugerah. Bukan sahaja dalam bidang pengarahan tetapi dia mampu memerikan visual yang baik menerusi setiap babak.

“Jadi sudah pasti keyakinan dan harapan besar diletakkan kepadanya untuk memberikan ‘roh’ kepada Antara 2 Raya,” katanya lagi.

Antara 2 Raya mengisahkan tentang seorang lelaki yang bekerja di syarikat pelancongan. Watak yang dipegang oleh Fizz Fairuz itu mula berkembang apabila dia dituduh melakukan pecah amanah oleh majikannya.

Berlaku satu insiden tolak-menolak yang akhirnya membuatkan majikannya itu rebah dan terus meninggal dunia. Fizz dituduh menjadi penyebab kepada kematian lelaki itu dan menerima hukuman atas kejadian berkenaan.

Tidak sekadar dipenjarakan atas tuduhan pecah amanah, dia juga berhadapan dengan hukuman membunuh tanpa niat.

Di dalam penjara dia bertemu pula dengan Zamarul Hisyam yang turut mendapat nasib yang sama. Dia juga dituduh membunuh tanpa niat dek kerana diganggu ‘along’ yang mahu menuntut hutang.

Di situ mereka bertemu dan menjalani hukuman masing-masing.