Cukup positif dengan kemampuan diri, dia juga yakin tempoh empat tahun dalam industri ini juga dikira masih lagi baharu. Sentiasa melihat perjalanannya sedikit berbeza daripada mereka, Raysha yakin jenama “Senrose” juga bukan suatu kelebihan buat dirinya yang lebih senang dikenali melalui kemampuan diri.

“Kalau dahulu mungkin ada kelebihan membawakan nama kakak-kakak saya, tetapi dengan laman sosial, Instagram rasanya semua orang mempunyai peluang yang sama. Sebab melalui laman sosial kita juga boleh dikenali dengan lebih mudah sebenarnya.

“Bagi saya sendiri tidak kisah untuk dikenali sebagai adik kepada Uqasha dan Nelydia sebab memang kami adik-beradik. Namun apa yang orang di luar kena tahu kami adalah individu berbeza,” kongsinya.

Mengakui mereka bertiga mempunyai hubungan yang sangat rapat, bagaimanapun dia akui membawa gelaran sebagai adik bukan suatu tanggungjawab yang mudah. Malah berada dalam dunia seni juga memberi cabaran berbeza buat mereka bertiga.

“Tekanan bila sering dikaitkan dengan mereka tentang sesuatu isu, bagaimanapun saya akui kalau ada benda negatif secara tidak langsung saya juga akan terkait sebab hubungan kami.

“Tetapi itu perkara normal bagi saya. Sebabnya sama seperti mereka, jika ada perkara yang berlaku yang mengaitkan saya tentunya mereka juga akan mengalami perkara yang sama sebab hubungan kami sebagai adik-beradik,” katanya jujur.

Menyebut perkataan kontroversi, Raysha mungkin agak ketinggalan untuk dikenali melalui kejadian yang menjadi perhatian warganet. Menjelaskan dirinya sebagai seorang yang tidak suka terlalu berkongsi, dia cukup positif untuk memberitahu kontroversi dalam dunia selebriti bukan sesuatu yang boleh dielak.

“Ikutkan saya memang tidak suka terlalu berkongsi, sebab ada bahagian dalam kehidupan saya ini tidak perlu selalu ditonjolkan. Malah dalam suatu sudut saya turut belajar melalui kakak saya.

“Namun ini bukanlah bermakna saya cuba mengelak kontroversi, sebabnya sebagai artis, kontroversi bukan sesuatu yang boleh kita elak. Dalam hal ini, saya sangat positif dan mungkin belum sampai waktu saya untuk berhadapan dengan keadaan ini,” katanya tenang.

Cintaku Di Bumi Izmir

MEMEGANG watak sebagai gadis Turki dalam drama Cintaku Di Bumi Izmir, kali ini perhatian bukan sahaja diberikan kepada kemampuan Raysha untuk berbicara dalam bahasa Turki. Ia tentang bagaimana gadis ini mampu untuk berlakon sebagai kekasih kepada pelakon Hefny Sahad, yang juga bekas kekasih kepada kakaknya Uqasha.

“Memang bila mendapat tahu saya akan berlakon di samping Hefny, pada mulanya saya sangat terkejut. Apa yang terlintas dalam kepala saya ketika itu bagaimana mahu wujudkan keserasian.

“Namun semuanya tidak ada masalah memandangkan kami sangat profesional. Lebih mudah apabila saya dan Hefny yang dianggap seperti abang ketika ini juga memberikan kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pengalaman menjalani penggambaran di Turki selama sebulan Raysha memberitahu, ini adalah pengalaman terbaiknya.

“Satu pengalaman yang baik memandangkan saya berada di sana selama sebulan dan saya membawa watak sebagai seorang gadis Turki, jadi perlu untuk saya belajar bahasa tersebut. Memang susah untuk bertutur dalam bahasa Turki.

“Selain itu, penggambaran turut dijalankan pada bulan Ramadan. Walaupun cuaca panas, apa yang boleh saya kata ialah lokasi di Izmir merupakan tempat yang sangat indah,” katanya lagi.

Selain Raysha dan Hefny, drama yang sudah disiarkan pada 27 Ogos lalu di Unifi TV saluran Hyppsensasi 116 ini juga turut menampilkan Nabila Razali dan Syafie Naswip.

Kahwin? Nanti dahulu

HAMPIR enam tahun menjalin hubungan dengan pelumba kereta F3 negara, Nabil Jeffri, Raysha nampaknya tidak terburu-buru untuk segera bertukar status. Masih melihat kerjaya sebagai fokus utama, ketika ini juga dia tidak kisah sekiranya dua kakaknya terlebih dahulu mendirikan rumah tangga.

“Saya dan Nabil berkawan sejak 2013, kira-kira sudah enam tahun. Tetapi rasanya ketika ini masih belum memikirkan ke fasa berbeza sebab mahu memberi fokus kepada kerjaya.

“Saya baru berusia 22 tahun dan Nabil 25 tahun, kami juga tidak letak sasaran bila waktu yang sesuai. Mungkin lebih senang sekiranya kakak dahulu yang berkahwin,” jelasnya mudah.

Mengakui hubungan jarak jauh bukan sesuatu yang mudah, bagi Raysha ketika ini dia sangat selesa untuk terus dikenali sebagai kekasih pelumba negara itu. Dengan kepercayaan yang ditanam sejak enam tahun lalu membuatkan dia dan kekasihnya itu lebih matang dalam melayari hubungan mereka.

“Ketika ini, Nabil berada di Itali, memang bukan mudah untuk melayari hubungan jarak jauh. Namun kami masing-masing sudah percaya antara satu sama lain,” katanya ringkas.

Berbanding kerjaya, Raysha dilihat lebih bertuah dalam hal percintaan berbeza dengan kakak Uqasha.

Ditanya sama ada dia mengetahui akan kisah cinta baharu antara Uqasha dan Ben Amir, Raysha nampaknya lebih senang untuk menggambarkan keadaan itu sebagai fasa berkawan sahaja buat masa ini.

“Saya tahu mereka berkawan, sebab ikutkan Uqasha lebih sibuk dengan kerjanya, tidak nampak pula dia keluar bersama.

“Soal cinta itu saya tidak pasti, namun saya hanya tahu mereka berkawan.

“Sehingga kini juga saya masih tinggal bersama kakak-kakak saya, jadi memang selalu bertemu dan sering juga bersembang tentang perkembangan baharu mereka.

“Mereka akui saya bertuah sebab saya sudah bertemu lelaki yang boleh dipercayai ketika ini.

“Namun saya yakin suatu hari nanti mereka berdua juga akan bertemu insan yang terbaik,” katanya panjang lebar.