Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 25, meluahkan rasa syukur dan bangga apabila usahanya dalam bidang lakonan mendapat perhatian juri professional yang terdiri daripada pelakon senior.

“Lima tahun dalam industri, pelbagai perkara yang telah saya lalui. Awal kemunculan dikatakan sebagai pelakon ‘kayu’, kemudian ada yang kata saya berlakon kerana rupa.

“Dari situ saya tidak pernah putus asa untuk terus mendalami ilmu lakonan dan kini hasil usaha saya mendapat perhatian sehingga diberi peluang untuk menerima dua anugerah yang dinilai oleh juri professional.

“Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada juri yang terdiri daripada barisan pelakon senior kerana mereka nampak bakat lakonan saya,” ujarnya.

Sementara itu, Emma tidak menganggap anugerah tersebut sebagai alasan untuknya terus selesa sebaliknya dia perlu lebih berusaha untuk melakukan yang terbaik agar kekal berada dalam industri.

“Saya rasa lebih banyak yang perlu saya belajar dan mengasah lagi bakat lakonan. Ini kerana saya masih  belum diberi peluang untuk melakonkan pelbagai watak yang lebih mencabar.

“Bagi saya, anugerah ini bukan untuk saya terus berpuas hati dengan pencapaian saya setakat ini tetapi ia merupakan pembakar semangat untuk melakukan lebih baik lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE.