Memulakan pementasannya kepada umum bermula 12 hingga 18 Oktober ini, Nabila yang ditemui selepas persembahan teater itu memberitahu, wataknya sebagai Hayati agak berat dan senantiasa bermain dengan emosi.

Mengakui sedikit tertekan dalam menggalas peranan yang diberikan kepadanya, aktres berkenaan bagaimanapun optimis untuk terus memantapkan kredibiliti lakonannya agar penonton terhibur.

“Ini cerita berat dan watak saya memang banyak menangis bermula dari awal babak hinggalah ke akhir hayat Hayati. Ketika di awal latihan, saya merasakan tekanan yang dihadapi tetapi selepas latihan demi latihan, perasaan tersebut dapat dikurangkan.

“Syukurlah, ketika pementasan kali pertama, ia berjaya disampaikan tanpa sebarang masalah sama ada dari sudut skrip mahupun gaya lakon. Sepanjang latihan, rasa tertekan itu begitu dirasai, namun saya kawal ia untuk memberi fokus terhadap lakonan.

“Selepas tamat latihan, saya akan masuk bilik dan kurangkan tekanan dengan mendengar lagu-lagu kegemaran atau menonton filem kesukaan,” katanya menceritakan pengalamannya menjayakan TKVDW.

Sementara itu, bagi memuaskan hati penonton, Nabila berjanji kepada dirinya sendiri untuk mempertingkatkan penghayatannya lebih mendalam dalam membawakan watak Hayati bergandingan dengan aktor Amar Baharin.

Katanya, ada beberapa hari lagi pementasan dan dia bersama pelakon-pelakon lain cuba memberikan yang terbaik supaya berbaloi dengan harga tiket yang dibeli.

“Pastinya sebagai pelakon, perlu ada rasa tidak puas hati terhadap lakonan sendiri dan sentiasa berikan yang terbaik setiap hari walaupun ada yang mengatakan lakonan kami dah okey.

“Sebenarnya, tiada lakonan yang sempurna selain ia perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Anak turut berlakon

Dalam masa yang sama, anak tunggal kesayangannya, Keisha Laila juga tidak ketinggalan beraksi menjayakan teater tersebut dipentaskan di pentas berprestij, Panggung Sari, Istana Budaya itu.

Menurut Nabila, penglibatan puterinya itu adalah secara kebetulan apabila Keisha mengikutinya setiap hari ke set latihan. Sementara menunggu sesi latihan hari demi hari, kanak-kanak itu sudah memahami jalan cerita dan sesekali terbabit dengan latihan.

“Dia selalu ikut saya datang latihan. Jadi, apabila saya tengah buat latihan, dia pula bermain dengan beberapa pelakon kanak-kanak lain yang turut berada di situ.

“Dia seorang anak yang sangat berdikari, dia tahu saya tengah kerja, jadi dia tidak akan ganggu saya. Lagipun, dia leka bermain dengan kawan-kawan yang baru dikenalinya. Akan tetapi yang lucunya, lama- kelamaan dia pun sama macam ‘buat’ latihan kat tepi sudut dengan kawan-kawan barunya.

“Jadi, saya pun mendapatkan kebenaran penerbit untuk membabitkan Keisha dalam pementasan ini dan dia teruja kerana turut serta,” ujar Nabila yang tidak meminta bayaran daripada produksi untuk anaknya.

Teater Muzikal Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah sebuah kisah cinta menyayat hati antara dua jiwa iaitu Zainuddin dan Hayati yang melibatkan isu darjat, pangkat, harta, nafsu, cinta dan kesetiaan. Ia diarahkan oleh pengarah muda Azhar Zainal dan diterbitkan pihak CTRA Production.

Selain Nabila dan Amar, teater berkenaan dijayakan Syarul Ridzwan, Amyra Rosli, Karl Shafek, Zulkifli Zain dan Liza Abdullah.