Kehadiran kira-kira 1,000 orang penonton termasuk daripada kelab peminat yang berasak-asak membuktikan kesetiaan peminat kepada Hafiz, Hazama dan Akim.

Firman, Faizul dan Aril diletakkan sebagai pembuka tirai persembahan yang diberi nama Hafiz & Friends ini. Dengan mendendangkan lagu popular masing-masing, sudah cukup menjadi tanda kemunculan mereka dalam industri. Setiap yang hadir nyanyi bersama mereka dan suasana pada malam itu berjaya digamatkan.

“Ini adalah persembahan yang terbaik buat kami! Memang tidak disangka kehadiran ramai peminat pada malam ini.

“Pada mulanya, kami agak bimbang kerana tiket dijual untuk persembahan ini dan merasakan susah untuk membawa orang ramai membeli tiket.

“Kami juga takut kerana negara kita dilanda musibah banjir sehingga menganggap persembahan ini tiada sambutan.

“Tapi Alhamdulillah, buktinya, pada malam ini ramai pula yang datang. Terima kasih buat semua peminat yang masih memberi sokongan kepada kami,” kata Hafiz gembira.

Tambah penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak berusia 25 tahun itu, rasa bimbang mereka sudah ‘terubat’. Hanya rasa syukur dapat diluahkan masa ini.

“Promosi besar-besaran melalui medium laman sosial kami bertiga nampaknya berjaya.

“Sebelum konsert bermula, kami memang sudah maklumkan kepada semua tentang persembahan ini,” ujarnya.

Tidak menukar konsep dan pengisian ketika menjayakan persembahan seperti itu di Hard Rock Melaka pada Mei tahun lalu, Hafiz memberitahu, lebih kurang 13 buah lagu telah dinyanyikan.

Kemunculan Akim bersama ahli kumpulannya The Majistret adalah satu persembahan yang ditunggu-tunggu. Peminat memberikan sorakan dan tepukan gemuruh. Malah, penonton turut bersama-sama menyanyi lagu popular seperti Inilah Cinta, Mewangi dan Potret yang disampaikan Akim.

Hafiz pula mendendangkan lagu-lagu hitnya, Ku Akui, Hanya Ingin Kau Cinta dan Matahari juga mendapat reaksi positif peminat yang hadir.

Giliran Hazama yang bijak berinteraksi dengan penonton sehingga membuatkan penonton tidak kering gusi melihat gelagatnya di pentas. Hazama menyanyikan lagu popularnya Penglipur Lara, Malaikat dan Relakan Jiwa.

Muzik dan sahabat

Janji Hazama untuk buat yang terbaik sudah tertunai. Kata, Hazama pada malam itu, sambutan yang begitu positif menunjukkan muzik dendangan mereka sebenarnya masih hidup.

Gembira dengan sambutan yang diberikan, Hazam turut menganggap persembahan itu berjaya sama seperti mereka menjayakannya di Melaka.

“Tidak tahu hendak cakap apa. Sambutan daripada peminat sangat bagus sebab itu kami melakukan yang terbaik dan teruja mengadakan persembahan.

“Kerana reaksi peminat, kami juga senang membuat persembahan. Malah, sangat bertenaga dan bersemangat di atas pentas. Tak sangka mereka ikut kami menyanyi.

“Respons penonton itu sangat baik sehingga tidak membuatkan kami rasa penat. Malah persembahan yang sepatutnya tamat pada pukul 11 malam berlarutan hingga 11.30 malam kerana ada sahaja lagu yang diminta.

“Saya harap dengan sambutan menggalakkan ini persembahan jelajah seperti ini akan disambung lagi untuk masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hazama memberitahu, persembahan kali ini juga dianggapnya sebagai satu reunion atau perjumpaan untuk beberapa orang penyanyi kelahiran AF seperti mereka disatukan di atas satu pentas yang sama.

“Kami juga sudah seperti adik-beradik. Meskipun ada di antara kami menceburkan diri sebagai artis kelahiran AF dalam tahun yang berbeza, tetapi kerana kami berada di bawah satu bumbung iaitu Astro Talent, maka semuanya jadi mudah.

“Erti sahabat antara kami diharap juga tidak akan pudar,” tegasnya.

Biarpun sibuk dengan persiapan pertunangan yang akan diadakan pada 27 Februari ini di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak, Hafiz juga masih kelihatan bertenaga dalam persembahan berkenaan.

“Persiapan majlis pertunangan masih dijalankan walaupun sibuk dengan konsert ini. Masa dibahagikan antara majlis dengan persembahan.

“Saya tidak mahu kedua-dua majlis besar buat saya ini diabaikan. Apa yang saya mahu adalah kedua-duanya berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, konsert ini berjaya menarik ramai peminat kami. Ternyata kami masih mempunyai peminat dan sokongan mereka itu membuatkan kami kuat ketika persembahan dijalankan,” katanya.

Ditanya kehadiran teman wanitanya yang dikenali sebagai Effy pada malam persembahan berkenaan, Hafiz mengakui, kehadiran teman wanitanya itu juga telah menaikkan semangatnya dan berterima kasih kepada Effy kerana sudi hadir.

Impi konsert besar

Kehebatan dan kejayaan mereka beraksi di atas pentas kecil itu membuatkan Hafiz mengimpikan sebuah konsert berskala besar.

“Persembahan ini adalah titik permulaan kami untuk sebuah konsert besar ditambah dengan sambutan yang menggalakkan daripada peminat.

“Memang semua orang punya impian. Begitu juga dengan kami. Jenama Hafiz & Friends sudah semakin besar. Perancangan seterusnya adalah mengadakan persembahan bukan sahaja di Hard Rock.

“Apa yang diharapkan persembahan ini akan berterusan untuk sahabat-sahabat. Selepas ini, kami juga akan menggunakan nama Akim atau Hazama untuk persembahan yang lain,” katanya.

Bagi Hafiz, persembahan ini juga menjadi salah satu tanda kelangsungan mereka dalam kerjaya seni masing-masing.

Gabungan yang dibuat itu secara tidak langsung turut mendekatkan diri mereka peminat.