Jika idea yang dibawa segar, lari dari kebiasaan dan mampu menarik perhatian pastinya naskhah itu akan kekal menjadi sebutan. Paling tidak penonton akan terhibur dan gembira kerana dapat menyaksikan sebuah karya yang akan dikenang.

Mengambil kira semua aspek tersebut, pengarah Shuhaimi Lua awal-awal lagi sudah memikirkan tentang perkara berkenaan. Baginya tidak mudah untuk menghasilkan karya komedi yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton sejak akhir-akhir ini.

“Nampak kerja mudah tapi bukan senang mahu menggarap sebuah naskhah komedi yang akan dikenang. Sebab itu saya mengambil cabaran ini untuk menghasilkan telefilem yang berkualiti dan mampu menarik minat penonton untuk menyaksikannya sampai ke minit terakhir.

“Garapan pula perlu dibuat berbeza daripada yang sudah ada sebelum ini. Jangan sampai orang ingat kita mengitar semula idea dalam naskhah yang berbeza,” katanya yang bakal tampil dengan telefilem Rajuk menerusi slot Skrin Di 9, TV9 pada 2 Mei ini.

Rajuk yang merupakan naskhah komedi hasil tulisan dan idea Mohd Shahremy Ikmal dibintangi oleh Shamsul Ghau-Ghau, Nizam Zaidi, Rosnah Mat Aris, Azad Jasmin dan Mawar Rasyid.

Mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan, pastinya destinasi Pekan, Pahang menjadi lokasi utama penggambaran.

Selaku pengarah, Shuhaimi menganggap penglibatan pelakon popular tanah air yang sudah dikenali dengan jenaka dan komedi tersendiri mampu menarik khalayak untuk menonton.

Gandingan antara Shamsul dan Rosnah sendiri misalnya, sukar untuk dijangka. Mereka hadir dengan idea-idea baharu, tidak klise dan pastinya memberikan cabaran besar kepada pelakon muda apabila berada di dalam set.

“Tidak sukar bekerjasama dengan pelakon ini memandangkan mereka sudah berpengalaman luas. Awal-awal lagi saya akan memberikan arahan dan gambaran kepada mereka untuk melakukan yang perlu dan mengurangkan yang tidak ada kena mengena.

“Mereka faham dan tidak banyak mendatangkan masalah. Ini yang membuatkan saya gembira kerana tidak menghadapi banyak cabaran semasa penggambaran berlangsung pada penghujung Mac lalu,” katanya.

Mengenai idea pula, Shuhaimi menganggap pemilihan Rajuk sebagai tepat pada masanya. Dia yang sudah berpengalaman mengarahkan telefilem dan drama bersiri bertemakan kekeluargaan, kesedihan dan sebagainya menganggap ini adalah cabaran baharu untuknya.

“Sejak dahulu lagi saya jarang mengarahkan drama komedi seperti ini. Selain mahu mencuri perhatian peminat, secara tidak langsung juga mencabar saya dari segi pengarahan dan olahan untuk menghasilkan karya yang bermutu.

“Saya gembira kerana pihak stesen televisyen juga menerima dan meluluskan idea ini untuk divisualkan,” kata pemilik Tanah Beris Film Production Sdn. Bhd. ini lagi.

Komedi santai

RAJUK mengisahkan tentang Pak Tam lakonan Shamsul Ghau-Ghau yang baru kematian isteri setahun yang lalu. Sejak itu, Pak Tam mula berubah sikap dan perwatakan. Pak Tam mempunyai dua orang anak iaitu Hisyam (Azad Jasmin) dan Azmir (Nizam Zaidi) serta bakal menantu iaitu Asmida (Mawar Rasyid).

Pak Tam seorang yang penyayang dan lemah lembut dengan anak-anaknya namun selepas kematian isterinya sikapnya sama sekali berubah. Keadaan itu merisaukan Hisyam dan Azmir, tambahan pula majlis kenduri kahwin Hisyam akan dilangsungkan tidak lama lagi.

Lebih merumitkan keadaan apabila baju sedondon yang sepatutnya dipakai dengan arwah isterinya bila tiba hari bersanding anak mereka hilang. Bagai cacing kepanasan Pak Tam mula berubah sikap dan keadaan itu memberikan tekanan kepada anak-anaknya.

Bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk, kedua-dua anaknya sepakat untuk menjodohkan Pak Tam dengan janda sekampung bernama Mak Ros (Rosnah Mat Aris).

Wanita berkenaan yang hidup dengan anaknya Diana tidak menolak untuk berkenalan dengan Pak Tam.

Namun keadaan bertambah huru-hara apabila cinta Pak Tam mula berubah kepada Diana dan bukannya Mak Ros.