Menurut Raja Farah, 30, keguguran pertama dialaminya beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri tahun lepas dan kali kedua berlaku kira-kira dua bulan lalu.

“Keguguran tersebut berlaku berpunca daripada saya terlalu aktif bekerja terutamanya berkaitan perniagaan kek yang sedang diusahakan. Saya tidak tahu saya mengandung dan ketika itu saya kerap menyertai pelbagai karnival jualan di merata-rata tempat.

“Andai diberikan rezeki selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dan mahu mengambil keputusan untuk berehat daripada berniaga.

“Saya sudah tahu keadaan perut saya yang lemah jadi saya berharap dapat menjaga kandungan dengan baik sekiranya mengandung lagi,” ujarnya ketika ditemui dalam majlis Pembentangan Kandungan Baharu Rangkaian Televisyen Media Prima di sini semalam.

Raja Farah berkahwin dengan ahli perniagaan, Iskandar Ismail pada 6 September 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Imran Iskandar yang kini berusia 17 bulan. – UTUSAN ONLINE.