Terkini, mereka digandingan sebagai duta kepada portal terkenal, Tonton. Gandingan ini secara tidak langsung menambahkan lagi bibit-bibit mesra antara mereka.

Justeru, tatkala bertemu pada majlis sambutan ulang tahun pertama Tonton VIP yang berlangsung di One First Avenue, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, perihal hati pasangan pelakon drama Ku Kirim Cinta ini tidak dapat lari daripada disoal mengenai isu tersebut.

Bagi Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 25, selagi tiada cerita negatif yang melibatkan nama mereka, dia tidak mempunyai masalah untuk terus berkongsi cerita persahabatannya dengan Redza.

“Tidak ada sebab untuk saya rasa tidak selesa dengan keadaan ini kerana bagi saya, tiada isu kontroversi negatif dengan yang kami lakukan.

“Sebenarnya saya tidak kisah dengan situasi ini kerana lebih kepada tujuan untuk promosikan drama. Buat masa ini, saya selesa kerana semua dilakukan untuk drama dan secara tidak langsung untuk peminat,” jelasnya.

Selain menjadi topik bualan peminat, kemesraan yang dipamerkan oleh Ayda dan Redza seolah-olah memberitahu peminat ada cinta yang kian berputik antara mereka.

Dari situ, ada peminat mula menggabungkan nama dan membuka akaun Instagram untuk peminat mereka berdua.

Ternyata, harapan peminat untuk melihat pasangan ini terus bersama-sama lebih daripada seorang kawan begitu tinggi.

“Sebagai peminat, mereka sentiasa menyimpan pelbagai jenis harapan untuk saya. Bukan kepada saya dan Redza sahaja tetapi terhadap saya dengan orang lain juga.

“Namun begitu, saya tidak boleh menjaga perasaan semua orang. Bagi saya, selagi peminat tahu batas saya iaitu saya buat semua ini semata-mata kerana kerja, itu sudah memadai.

“Saya sangat berharap agar mereka tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sebaiknya jika mereka rasa saya dan Redza sesuai, aminkan sahaja,” ujarnya. – RUHAYA AB. HAMID

Ada ciri wanita idaman

Usai menyoal Ayda, tumpuan para wartawan beralih kepada Redza Rosli pula. Diminta menyatakan komennya jika ada yang berkata dia menumpang populariti penyanyi Pencuri Hati itu, si pemilik nama Ahmad Redza Rosli tanpa mudah melatah meluahkan pandangannya.

“Saya tidak kisah apa orang mahu bercakap fasal saya. Orang boleh cakap dan buat spekulasi sebab mereka tidak kenal siapa saya dan tidak berada dalam situasi yang saya alami ini.

“Saya juga tidak boleh menghalang mereka daripada terus bercakap. Senang cerita yang orang katakan mengenai saya tidak menjadi kudis kepada saya,” luahnya tenang.

Sementara itu, jejaka berusia 25 tahun ini mengakui Ayda memiliki ciri-ciri wanita idamannya. Tambah pelakon Seindah Takdir Cinta ini, kehadiran Ayda sebagai teman tapi mesra membuatkan dia belajar tentang erti hidup.

“Kami mudah menjadi rapat kerana drama lakonan kami bukan adaptasi novel. Jadi kami perlu mencipta keserasian. Buat masa ini, dia adalah pelakon wanita yang paling rapat dengan saya.

“Ayda mempunyai ciri-ciri wanita idaman saya dan salah satunya dia seorang yang ramah. Saya seorang yang pemalu dan sukar untuk memulakan perbualan dengan orang lain. Bukannya saya memilih kawan tetapi saya lebih banyak memerhati orang.

“Sejak dahulu saya hanya suka menghabiskan masa di rumah. Apabila berkawan dengan Ayda, dia membantu saya memulakan persahabatan dan bergaul.

“Tidak keterlaluan sekiranya saya cakap dia banyak mengajar saya tentang erti hidup yang sebenar,” jelasnya.