AIZAT AMDAN
AIZAT AMDAN

Konsert Padi Reborn Exclusive Live in KL yang turut mengundang penyanyi dan komposer, Aizat Amdan dan pemain drum cilik, Nur Amira Syahira memberi bayangan bahawa pada malam konsert itu nanti, para peminat akan dikejutkan dengan lagu duet antara Aizat dan Padi.

Aizat yang akan berduet dengan Padi setakat ini merahsiakan apakah lagu yang bakal dipersembahkan pada malam konsert nanti untuk memberi kejutan kepada mereka yang hadir.

Selain itu, Nur Amira Syahira akan beradu ketukan drum dengan Yoyo Prasetyo yang merupakan salah seorang pemain drum terbaik di nusantara.

Kumpulan tempatan, Pitahati yang dikenali menerusi lagu berjudul Sahabat, akan membuat persembahan pembukaan pada hari konsert.

Menurut kenyataan media, konsert anjuran Qew Communication Sdn. Bhd. menawarkan harga tiket istimewa kepada golongan pelajar yang ingin menyaksikan Konsert Padi Reborn Exclusive pada harga RM130.

“Selain itu, peminat yang membeli dua keping tiket platinum pada harga RM169 setiap satu, diberi potongan pada harga promosi RM299 untuk sepasang tiket. manakala tiket Meet and Greet pula dijual pada harga RM275,” katanya.

Menurut Qew Communication lagi, menjelang hari konsert pada Sabtu depan, pihaknya mengatur acara hiburan yang akan dijayakan pada Ahad ini di The Bee Publika, bermula pada pukul 3 petang.

“Mereka yang hadir di The Bee Publika dapat menyaksikan persembahan oleh kumpulan SOG, Margosa, Kapow, Oceanlights dan Pesawat.

Para peminat kumpulan Padi, boleh melayari www.buytickets.com.my untuk membeli dua tiket platinum (RM299) atau tiket individu platinum (RM169) dan untuk harga pelajar, RM130 pula di bawah qewcomm dengan melayari https://www.facebook.com/qewcomm atau layari laman media instagram, hppts://www.instagram.com/padireborn_liveinkl. - UTUSAN ONLINE