Mengambil kisah sang suami yang tegar melayan kerenah si isteri, Faizal memberitahu, lagu yang dihasilkannya itu menyelitkan elemen reggae, di samping nuansa pop 60-an.

“Pada usia saya yang sudah memasuki 40 tahun, tiba masanya saya meneroka genre baharu dalam diri saya untuk diketengahkan.

“Syukur alhamdulillah, saya dikurniakan bakat untuk menulis dan menyanyikan lagu sendiri. Itu adalah satu kepuasan bagi saya.

“Menambahkan lagi keistimewaan dalam karya ini, saya turut menampilkan suara anak-anak yang melatari bahagian awal lagu tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, sekian lama berkarya, dia sering tampil dengan sesuatu yang serius, namun kali Faizal memilih tema lebih santai untuk dihayati pendengar.

Pada masa sama, Faizal juga mendedahkan bahawa dia cuma mengambil masa selama empat bulan sahaja untuk menghasilkan Ragaman.

“Tempoh tersebut adalah yang paling singkat pernah saya ambil untuk hasilkan sesuatu karya sepanjang bergelar pengkarya,” tambahnya.

Lebih menarik, lirik lagu nyanyian juri profesional program realiti Big Stage 2018 itu turut menyelitkan unsur humor dengan pelbagai slanga masyarakat Malaysia.

Ragaman merupakan ciptaan Faizal, Mike Chan dan Romeo, manakala liriknya oleh Faizal dengan kerjasama Mike Chan, Karim Karam dan Jaare.

Sementara itu, menjawab sindiran seorang artis mengenai kredibiliti juri profesional Big Stage 2018, Faizal menjelaskan, dia langsung tidak terkesan.

Bahkan, dia yang menghuni kerusi juri bersama-sama penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza beranggapan, sindiran itu timbul disebabkan salah faham, bukan disengajakan.

Faizal atau Ahmad Faizal Mohamad Tahir berkata, dia sama sekali tidak ambil pusing dengan apa jua bentuk sindiran mahupun kritikan sama ada disuarakan oleh warganet atau pihak lain.

“Saya sudah lali dengan perkara seperti ini. Sejak awal kemunculan saya lagi sudah pelbagai kontroversi melanda,” tegasnya.

Menurutnya, dia lebih gemar mengambil jalan untuk mengelakkan perkara-perkara negatif selain meminta warganet mendoakan yang baik-baik sahaja.

Penyanyi yang pernah berduet dengan Siti Nurhaliza menerusi lagu Dirgahayu itu juga berharap peminat tidak membuat perbandingan dirinya dengan Datuk Ramli MS.

“Kedudukan saya adalah atas keupayaan diri sendiri bukannya untuk dibandingkan dengan orang lain.

“Jadi, adalah tidak adil untuk mereka menilai saya dengan cara itu,” katanya.