Bagaimanapun ketiadaan heroin Queen, Kangana Renaut untuk meraikan kemenangannya di IIIFA-16 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu nyata sedikit sebanyak menghampakan penonton.

Ini kerana sudah pastilah pengunjung mahu berkongsi kemenangan buat kali kedua Kangana yang membawakan watak utama sebagai Rani Mehra dalam filem tersebut.

Pun begitu, pengarah filem Queen, Vikas Bahl mewakili Kangana mengambil trofi Pelakon Wanita Terbaik pada majlis itu sempat berkongsi detik kesukaran untuk menjayakan filem tersebut.

“Queen adalah sebuah filem bajet rendah dan disebabkan itu kami terpaksa bertungkus-lumus mengurangkan tenaga kerja sedia ada untuk memastikan filem itu berjalan lancar.

“Filem ini pernah tergendala separuh jalan di London apabila penaja yang sepatutnya melabur menarik diri pada saat-saat akhir.

“Kami terpaksa pulang semula ke India dan hanya menyambung penggambaran apabila sudah mendapat wang,” ujar Vikas.

Lakonan Kangana dalam Queen nyata telah memikat hati juri biarpun berdepan dengan pesaing sengit terdiri daripada Rani Mukerji (Mardaani), Priyanka Chopra (Mary Kom) dan Deepika Padukone (Happy New Year) dalam kategori yang sama.

Kangana meneruskan kejayaan peribadi apabila sebelum ini dia juga diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Filem Kebangsaan Ke-62 di India yang berlangsung tahun lalu.

Tuah Shahid

BINTANG yang semakin menyinar, Shahid Kapoor juga tidak kurang hebatnya. Lelaki berusia 34 tahun dilihat terus cemerlang apabila diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Haider.

Pada mulanya Shahid merasakan peluang untuk menjulang anugerah tersebut agak tipis memandangkan pesaingnya terdiri daripada nama besar seperti Aamir Khan (PK), Hrithik Roshan (Big Bang!) dan Shah Rukh Khan (Happy New Year).

Namun tuah berpihak kepada dirinya apabila dipilih memenangi anugerah berkenaan. Malah Shahid meluahkan rasa syukur kerana baginya Haider bukan filem yang menepati cita rasa masyarakat hari ini.

Sebaliknya Haider adalah sebuah filem jenayah yang diadaptasi daripada Hamlet oleh William Shakespeare.

Membawakan watak protogonis juga menyebabkan Shahir berasa dia bukan pemenang untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik IIFA-16.

“Sewaktu pengarah, Vishal Bhardwaj menawarkan saya untuk menerajui Haider, saya awal-awal lagi sudah menyatakan rasa bimbang kerana filem ini ‘berat’.

“Bukan sekadar untuk memegang watak utama tetapi disebabkan isu keseluruhan filem berkenaan yang mungkin tidak boleh diterima segelintir penonton.

“Ini kerana kebanyakan peminat filem Hindi gemar menonton filem genre romantik cinta dan tidak berat seperti Haider,” ujar Shahid yang akan berkahwin dengan Mira Rajput pada Julai depan.

Selain dua kategori tersebut, kategori lain yang menarik perhatian adalah kemenangan pendatang baharu, Tiger Shroff dalam kategori Lakonan Sulung Lelaki Terbaik menerusi filem Heropanti.

Tiger dipilih bintang yang mampu menyinar dalam industri Bollywood kerana karisma yang dimilikinya itu mampu menawan hati peminat.

Mewarisi bakat bapanya, pelakon veteran, Jackie Shroff, Tiger juga diramalkan mempunyai masa depan yang cerah dalam dunia lakonan.

Selain kategori lakonan dan teknikal, penganjur juga memberikan anugerah khas kepada dua individu iaitu Deepika Padukone dan Subash Gahai kerana sumbangannya terhadap dunia perfileman India.

Selain malam kemuncak dan tayangan filem, turut diadakan sepanjang festival berlangsung pada 5 Jun hingga 7 Jun di Kuala Lumpur ialah Konsert IIFA Rocks di Istana Budaya, IFFA Fashion Extravaganza, IIFA Music Workshop dan forum.