“Saya suka dengan watak yang memaparkan kehidupan sebenar manusia. Maknanya sesuatu yang menggambarkan realiti kehidupan manusia.

“Bagi saya sebagai seorang pelakon saya ada tanggungjawab buat masyarakat jadi saya mahu melalui lakonan ini secara tidak langsung memberi impak kepada penonton,” kongsinya.

Kongsi Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Iskandar, 39, sebelum bersetuju untuk berlakon dia akan melalui proses yang sama iaitu memahami sama ada watak yang akan dibawakan dirinya sesuai atau tidak.

Katanya, proses ini tidak sekadar memerlukan dia tetapi juga pihak produksi yang akan bekerjasama dengan dirinya untuk menjayakan sesebuah karya.

“Sebelum bersetuju saya akan tengok skrip dan memahami apa yang diperlukan. Sebab saya perlu suka dahulu sebelum mampu memberikan hasil yang baik. Dalam lakonan semuanya mengenai kerjasama. Cara saya mudah iaitu duduk dan berbincang dalam mencari persetujuan,” katanya.

Masih menerima tawaran seperti biasa, jelas Que kali terakhir dia berlakon ialah tiga tahun lalu. Mengambil masa yang lama untuk kembali dengan telefilem Malek.

Dalam hal ini dia juga takut jika ada pihak yang terasa apabila dia tidak mampu menerima tawaran yang datang sebelum ini.

“Memang ada tawaran, tidak semua yang saya tolak kerana skrip itu sendiri. Kadang ada yang saya suka namun waktunya tidak menepati kemampuan saya jadi saya terpaksa tolak. Saya juga tidaklah menolak mentah-mentah tawaran yang saya tidak mampu buat. Ada caranya, sebab sebagai pelakon kita perlu ada budi bicara,” jelasnya.

Tidak pernah terkesan dengan perkataan popular, kata Que, sejak dahulu lagi impiannya hanya satu, mahu dikenali melalui hasil kerjanya sahaja.

“Saya tidak pernah kisah akan perkara itu (populariti), bagi saya dalam diri seorang pelakon yang perlu ada adalah bakat dan ilmu.

“Sebab kita tahu dua ini yang akan diingati penonton sampai bila-bila.

“Jika ada yang tidak mengenali saya, tidak mengapa sebab saya mahu mereka mengenali saya melalui lakonan saya,” katanya positif.

Malek buah tangan baharu

Menjalani kehidupan biasa sebagai seorang bapa dan suami, kongsi Que tiada yang berbeza mengenai kehidupannya kini.

Walaupun keluarga menjadi fokusnya kini namun dia tetap mengambil bahagian dalam memperkasa bidang lakonan di negara ini.

“Menjadi ayah kepada tiga orang anak, sama seperti ayah-ayah lain di luar sana. Ambil anak sekolah dan sebagainya. Alhamdulillah untuk kehidupan ini,” katanya.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk berkongsi 
ilmu dengan anak muda 
lain, ternyata Que mempunyai visi jangka panjang untuk bakat-bakat yang kini tinggal di luar bandar.

“Bergelar Penasihat Industri untuk Ikatan Seni Komuniti FELDA (Iskaf) memberi peluang untuk saya berkongsi ilmu. Antara inti pati program yang dijalankan adalah bengkel lakonan.

“Bagi saya ini peluang untuk memberi kembali kepada masyarakat,” jelasnya.

Muncul sebagai Majid dalam telemfilem terbaharu berjudul Malek, berkata Que, apa yang menarik tentang naskhah ini bagaimana penceritaan seorang bapa dan kemanusiaan itu membuatkan dia bersetuju untuk berlakon.

“Saya berlakon sebagai pesalah yang dibuang daerah. Dalam drama tersebut saya tidak sahaja bergelut dengan kehidupan seorang yang hidup dalam buangan tetapi juga dalam masa yang sama membesarkan seorang anak.

“Antara aspek yang saya suka mengenai telefilem ini bagaimana ada babak dalam telefilem ini juga turut mengimbau kembali nostalgia ketika saya masih kecil,” katanya.

Sementara itu, telefilem Malek arahan Zainorhisyam Samudin ini turut dibintangi Jalil Hamid dan Idraki Tan. Telefilem ini untuk tayangan di Astro Citra dan Astro Mustika HD.

Berkisar tentang Majid, seorang lelaki yang dikenakan Akta Pencegahan Jenayah hidup sebatang kara setelah dibuang daerah. Namun, segalanya berubah apabila anaknya, Malek muncul secara tiba-tiba setelah isterinya meninggal dunia.