Pengerusi PVNK, Samsudin Awang berkata, Habaq TV telah memperoleh kelulusan permohonan operasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 17 Julai lalu.

Katanya, Habaq TV bakal menjadi saluran televisyen secara dalam talian yang boleh ditonton di telefon bimbit secara percuma tanpa sebarang caj langganan selama lapan jam sehari.

“Bagi fasa pertama, kandungan siaran Habaq TV adalah tertumpu kepada berita yang berkaitan kepen­tingan masyarakat Kedah sama ada bahan berita dalam negeri, dalam negara mahupun dari luar negara.

“Laporan berita akan disiarkan secara langsung dari 12 lokasi daerah seluruh Kedah melalui koordinasi ahli jawatankuasa (AJK) PVNK yang berperanan sebagai kores­pon­den Habaq TV di setiap daerah.

“Di samping itu, turut disiarkan adalah kandungan berkaitan pelancongan Kedah bagi menjadi pemangkin industri pelancongan sedia ada khususnya di Langkawi,” katanya selepas melancar­kan Logo Stesen bagi Habaq TV di Kolej Komuniti Langkawi (KKL), di sini baru-baru ini.
 Pelancaran logo itu bertujuan memperkenalkan Habaq TV kepada semua pengusaha hotel dan pelancongan di pulau bebas cukai berkenaan supaya dapat dijadikan saluran rujukan informasi Kedah kepada pelancong.

Sementara itu, Pengarah KKL, Khaairuddin Khalil berkata, Ha­baq TV amat bermanfaat kepada pelajar kerana berperanan sebagai landasan untuk pelajar menyiarkan karya video mereka.
 “Kebanyakan pelajar kolej ini mengikuti pengajian bidang perhotelan dan pelancongan yang memerlukan fungsi media baharu dalam pembelajaran serta kerjaya mereka.
 “Pelajar juga diterap dengan nilai keusahawanan dan perniagaan yang mana Habaq TV adalah saluran media terbaik untuk mempromosi produk di peringkat tempatan,” ujarnya.