Diterajui dua pelakon handalan, Puttichai Kasetsin dan Esther Supreeleela, drama tersebut menjadi hiburan berimpak tinggi yang berjaya menarik jutaan tontonan ketika penayangannya.

Kedua-dua pelakon itu turut dikenali ramai peminat di Malaysia. Ini bukan sesuatu mengejutkan memandangkan drama dan filem Thailand tidak kurang popular dalam kalangan peminat tempatan.

Justeru, bagi mendekati peminat mereka di negara ini, Puttichai dan Esther turun padang menjayakan sesi ramah mesra yang diadakan di Kompleks Beli Belah Sunway Pyramid baru-baru ini.

Acara khas tersebut berjaya menarik kehadiran ratusan peminat tempatan dan luar negara.

Dalam sidang akhbar yang diadakan itu, Puttichai dan Esther gembira kerana berpeluang mengunjungi Malaysia dan bertemu peminat-peminatnya.

Jelas Puttichai, Malaysia adalah negara yang cukup unik dan menarik untuk diterokai.

“Saya masih belum berkesempatan mengunjungi Menara Berkembar Petronas namun teruja dan tidak sabar untuk ke sana. Saya harap dalam masa terdekat dapat melawati mercu yang cukup terkenal serata dunia itu.

“Saya juga berharap dapat kembali ke Kuala Lumpur pada masa akan datang menerokai lebih banyak lokasi menarik bersama peminat.

“Jika diberi peluang, saya ingin menjalani penggambaran filem atau drama di sini,” ujar pelakon yang terkenal sebagai Push itu.

Selain bertemu peminat, kehadiran Puttichai dan Esther juga adalah mempromosikan drama tersebut yang kini boleh ditonton menerusi www.dimsum.my.

Disoal tentang keserasian dalam menjayakan U-Prince: Handsome Cowboy, Esther memberitahu, semuanya berlaku dengan mudah.

“Saya dan Puttichai pernah bekerjasama sebelum ini. Kami selesa, seronok dan mengenali antara satu sama lain. Kerana itu, keserasian sudah wujud sekali gus memudahkan kami berdua menghidupkan lagi karakter masing-masing dalam drama tersebut,” jelasnya.

U-Prince: Handsome Cowboy mengisahkan Sibtis (lakonan Puttichai), penuntut tahun kedua jurusan pertanian berperwatakan nakal yang terpaut pada Prikkang (Esther), seorang gadis cantik yang cukup anti kepada lelaki seperti Sibtis.

Usaha Sibtis memenangi hati Prikkang akhirnya berjaya namun hubungan mereka berdepan konflik dan cabaran selepas kedua-duanya menyedari, mereka pernah menjadi rakan baik sewaktu zaman kanak-kanak.

Disoal tentang watak impian, Puttichai dan Esther masing-masing mempunyai cita rasa berbeza.

Puttichai yang sebelum ini terkenal dengan membawakan watak lelaki tampan dan romantik mendambakan karakter lebih lasak atau bersifat komedi. Manakala Esther, sedikit berbeza.

“Jika diberi peluang, saya ingin melakonkan watak seram, menjadi wanita yang berdepan masalah mental atau watak mistik. Bagi saya, karakter seperti itu mampu mencabar kebolehan lakonan,” kata Esther.