Jelas penyanyi bersuara emas itu, dia mahu setiap albumnya mempunyai hubungan dengan kehidupan yang sedang dijalani dan lagu tersebut merupakan permintaan ibu mentuanya.

"Selalunya, bila saya hasilkan sesebuah album, pastinya lagu-lagu yang terkandung dalam naskhah itu mempunyai kaitan dengan kehidupan saya, Sebab itu saya pilih Putri Remaja.

"Selain lagu dan liriknya yang cukup indah, Putri Remaja ini juga merupakan lagu kegemaran ibu mentua saya. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk menyanyikan lagu ini.

"Dalam album itu nanti, susunan muzik lagu tersebut saya ubah sedikit dengan memasukkan elemen jazz," katanya yang menyanyikan lagu itu buat pertama kali di konsertnya, Marcell: Once In a Lifetime di sini malam tadi.

Lagu Putri Remaja sebelum ini juga pernah dinyanyikan semula oleh Salih Yaacob sekitar tahun 1987 menerusi filem Keluarga 99 arahan pelawak dan pelakon terkenal, A. R. Badul.

Selain Putri Remaja, Marcell juga memilih untuk menyanyikan semula lagu Rozana (dendangan asal Search) kerana lagu tersebut merupakan kegemaran isterinya, Rima Melati Adams.

"Kalau keluarga yang meminta untuk saya menyanyikan lagu kegemaran mereka, saya tidak boleh menolak. Turutkan sahaja, cuma susunan muziknya diubah sedikit untuk bersesuaian dengan konsep album nanti," katanya.- UTUSAN ONLINE