Malah penglibatan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 33, dalam industri semakin terhad apabila bergelar ibu hampir setahun lalu.

Pun begitu, namanya tidak pernah tenggelam dan masih menjadi sebutan peminat bukan sahaja kerana statusnya sebagai isteri pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof malah dek perniagaan dalam bidang fesyen yang dijalankannya.

Bertemu ibu kepada Syaikhul Islam baru-baru ini, Sarah menjelaskan, penglibatannya secara aktif dalam industri seni agak terhad kerana dia perlu mematuhi kehendak suami tercinta.

Menurut Sarah, suaminya lebih selesa melihat dia meluangkan lebih masa dengan anak memandangkan Syamsul agak sibuk bekerja.

Namun jika ingin kembali berlakon, Sarah hanya mahu bekerja bawah arahan suami atau bapa mentua sahaja.

“Kalau ikutkan hati, memang ada rasa rindu untuk kembali bekerja di lokasi penggambaran. Namun saya tidak boleh menentang kehendak suami yang mahu saya memberikan sepenuh perhatian terhadap anak kami.

“Keutamaan saya kini adalah keluarga dan perniagaan sahaja.

“Saya bersyukur kerana suami tidak pernah melarang saya menjalankan perniagaan, sebaliknya dia memberikan sokongan dan galakan sepenuhnya.

“Bagi saya pula, menjalankan perniagaan lebih mudah diuruskan berbanding berlakon. Sambil berniaga, saya masih mempunyai masa yang cukup untuk mengurus dan menjaga anak kami,” jelasnya.

Meskipun diminta agar memperlahan kerjaya seni, Sarah mengakui, dia ada menerima tawaran berlakon di samping Syamsul.

Namun projek tersebut belum dapat dilaksanakan kerana Syamsul perlu memberikan sepenuh komitmen terhadap pembikinan akhir filem arahannya, Munafik 2.

“Kami sepatutnya terlibat dalam sebuah drama. Bagaimanapun perancangan tersebut terpaksa ditunda kerana suami sibuk menyiapkan filem baharunya.

“Saya tidak ada masalah untuk berlakon dengan suami namun buat masa ini bukan rezeki kami.

“Bagi saya bekerja dengan suami sendiri lebih mudah terutama dari segi pengurusan masa untuk anak kami,” luahnya yang kini bergelar rakan perniagaan kepada Nur Asyikin Rahmat iaitu pemilik jenama Asyikin Exclusive.

Hargai peminat

Bercerita mengenai kolaborasi dengan Asyikin Exclusive, Sarah menjadikan pertanyaan setiap peminat tentang busana yang digayakan sebagai inspirasi untuk memulakan kerjasama tersebut secara lebih serius.

Meskipun perlu berdepan banyak saingan hebat dalam industri fesyen, Sarah sentiasa meletakkan keyakinan tinggi terhadap perniagaan yang sedang mereka jalankan itu.

Ujar pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie itu, dia mempunyai strategi yang tersendiri dalam memasarkan produk yang mereka hasilkan.

“Selepas menjadi duta kepada jenama tersebut selama setahun, saya nampak peluang saya sangat besar bersama-sama mereka. Sebab itulah saya bersetuju untuk berkolaborasi.

“Idea itu timbul apabila ramai peminat yang bertanya di mana mereka boleh mendapatkan setiap tudung atau baju yang saya pakai dan muat naik dalam media sosial Instagram.

“Bagi merealisasikan permintaan peminat saya yang terdiri daripada pelbagai taraf hidup, saya berharap dapat menjual produk dengan harga mampu milik agar semua peminat dapat membeli yang saya pakai,” ujarnya.