Mengambil masa untuk mengikuti kelas lakonan sebelum menyertai bidang tersebut sehingga kini dia juga masih  mencari pengalaman dalam memantapkan  lakonannya.

“Memang selepas keluar daripada pertandingan Dewi Remaja saya menerima banyak tawaran berlakon. Tetapi mengetahui tahap kemampuan diri, saya terpaksa menolak dahulu peluang berkenaan.

“Saya ambil inisiatif untuk mendalami ilmu lakonan dan pada masa yang sama cuba memperbaiki kekurangan diri sebelum benar-benar bersedia menjadi pelakon,” katanya.

Berusia 23 tahun, dia tidak kisah jika ada yang mengatakan perjalanannya dalam industri ini sedikit lambat kerana bagi Puteri Aishah atau Puteri Aishah Sulaiman, adalah penting baginya untuk mencari kelebihan diri sebelum menterjemahkan kepada peminat.

“Walaupun lambat saya bersyukur sebab berada pada laluan yang betul apabila karier saya kini semakin berkembang dengan baik.

“Berada bawah pihak pengurusan yang baik juga menyumbang kepada kelancaran perjalanan seni saya. Jadi, tidak perlu berasa risau sebagai pendatang baharu kerana semuanya diuruskan oleh mereka,” katanya lagi.

Pernah popular gara-gara gambarnya sebagai guru praktikal di sebuah sekolah menjadi tular, ketika ini kata Puteri Aishah, dia tidak bercadang untuk meneruskan pengajian dalam bidang perguruan memandangkan mahu memberi fokus kepada bidang lakonan.

“Ketika gambar itu tular saya hanya seorang guru praktikal, bukan seorang guru lagi kerana untuk menjadi seorang guru saya perlu meneruskan pengajian pada peringkat Sarjana Muda.

“Bukan tidak mahu meneruskan pengajian tetapi buat masa ini saya belum terfikir lagi untuk ke arah itu,” tambahnya.

Sementara itu Puteri Aishah yang kini popular menerusi drama Lelaki Itu Pemilik Hatiku memberitahu, walaupun ada yang mempersoal kemampuan drama lakonannya itu dengan drama Titian Cinta lakonan Zul Ariffin dan Farah Nabilah, baginya, perkara ini sedikitpun tidak menjejaskan tumpuannya untuk memberikan yang terbaik.

“Saya tidak pernah terkesan dengan jangkaan khalayak kerana fokus saya adalah mahu berikan yang terbaik buat penonton. 

“Malah  selepas beberapa minggu drama ini menemui penonton saya dapat lihat penerimaan yang baik dalam kalangan peminat,” ujarnya.