Berkata kepada Utusan Online, Nita yang baru sahaja tampil dengan single baharu berjudul Hadirlah Cinta berharap segala urusan perkahwinannya dapat disegerakan dan dipermudahkan.

“Ada beberapa perkara lagi yang perlu diselesaikan sebelum meneruskan perancangan untuk berumah tangga.

“Jadi, saya dan tunang ambil keputusan untuk tangguhkan seketika majlis akad nikah supaya tidak mendatangkan masalah di kemudian hari,” katanya yang mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu.

Nita berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir rakan baiknya, Datin Alyah di The Curve, Mutiara Damansara, di sini baru-baru ini.

Menurut naib juara Malaysian Idol musim kedua itu, dia menjangkakan akan bernikah menjelang Ramadan tahun ini memandangkan keluarga kedua-dua belah pihak pun telah bersetuju.

“Cuma buat masa ini, kami belum dapat memilih tarikh bersesuaian untuk membuat keputusan muktamad.

“Apapun, saya mengharapkan doa peminat agar setiap perancangan yang telah diatur dapat disempurnakan. Kita hanya mampu merancang, hanya Allah sahaja yang menentukannya,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan terkini, Nita yang bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Alyah iaitu Like Music sedang sibuk merencanakan hal promosi lagu baharunya, Hadirlah Cinta yang dicipta oleh Sharon Paul, manakala Iman Imran bertindak selaku penulis lirik.

“Saya harap, kemunculan single ini dapat memberi nafas lebih segar terhadap karier nyanyian saya sejak kali terakhir tampil dengan album Nita pada 2007,” tambahnya yang pernah popular menerusi lagu Kusut. - UTUSAN ONLINE