Pulang bukan sebuah filem biasa-biasa. Mengambil kisah epik penuh duka seorang lelaki kelahiran Serkam, Melaka yang belayar ke serata dunia menggenggam harapan mengubah hidupnya, filem ini digarap dengan sempurna.

Kisah Othman yang terpaksa meninggalkan isteri, Thom dan anaknya, Omar untuk belayar mencari rezeki diselangselikan dengan pelbagai insiden yang cukup meruntun dan mendebarkan jiwa.

Babak ketika ditangkap tentera Jepun, insiden kebakaran di atas kapal dan pergaduhan dengan kelasi lain diterjemahkan dengan mantap bawah arahan tangan magis, Kabir Bhatia.

Filem Pulang yang memakan belanja lebih RM6 juta ini juga memaparkan beberapa lokasi terkenal dunia antaranya England, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

Dizahirkan dengan sinematografi dan arahan seni yang cukup indah, filem ini berjaya meruntun jiwa penonton yang hadir dengan kisah cinta merentasi tiga generasi.

Filem yang dibarisi pelakon handalan antaranya Remy Ishak, Datuk Jalaluddin Hassan, Puteri Aishah dan Erwin Dowson, masing-masing berjaya menakluk watak dengan cara tersendiri.

Sekalung tahniah seharusnya diberikan kepada pelakon baharu, Puteri Aishah yang berjaya membawakan watak Thom biarpun Pulang merupakan filem pertamanya sejak melangkah dalam industri.

Bukan mudah untuk membawakan watak yang merentasi dua generasi namun Puteri Aishah tidak menjadikan ketakutan dan gugup sebagai halangan. Namun banyak lagi yang perlu diperbaiki khususnya watak sebagai Thom versi tua.

Tidak usah mempertikai lakonan mantap Remy kerana pada tangannya, dia berjaya menghidupkan watak Othman sehingga jiwa dan emosi penonton selari dengan kesedihan serta keperitan yang dihadapi.

Tatkala Othman berdepan dengan babak-babak sukar dalam hidupnya, penonton dibawa belayar dengan adrenalin meninggi apabila pelbagai aksi-aksi mendebarkan terpaksa dilalui.

Watak kelasi zaman Tanah Melayu yang dijiwai sempurna oleh Remy dan beberapa pelakon lain juga seharusnya diberi penghargaan terutama apabila kapal mereka dibadai ombak laut.

Seorang lagi pelakon yang selayaknya menerima ucapan tahniah adalah Alvin Wong yang membawakan watak Lum dengan cukup mantap. Dia berjaya menghidupkan Pulang dengan kesedihan dan lawak jenaka yang benar-benar mencuit hati.

Biarpun terpaksa berdepan dengan beberapa masalah dalam babak-babak mencabar namun Alvin berjaya membawakan watak Lum yang juga rakan baik kepada Othman dengan berkesan.

Filem yang mengambil masa dua tahun untuk menghasilkan kesan khas visual ini berjaya direalisasikan dengan visual imej janaan (CGI) yang memakan belanja RM2 juta geran dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Selain visual yang boleh disifatkan sempurna, skor muzik bawah arahan komposer dan penerbit terkenal, Aubrey Suwito juga berjaya membawa penonton berkelana dengan permainan emosi.

Seandainya anda peminat filem yang meletakkan cinta sejati sebagai tema, anda ‘wajib’ untuk menonton filem karya agung Kabir ini yang bakal ditayangkan bermula 26 Julai ini.

Tahniah kepada seluruh kru poduksi Primeworks Studios dan para pelakon yang berjaya menterjemahkan sebuah kisah benar dengan cukup berjaya. Pulang, sebuah kisah epik garapan cinta sempurna yang meruntun jiwa.

Cabaran watak

Memainkan watak Othman yang benar-benar wujud, bagi Remy Ishak, dia perlu mengkaji serta mendalami karakter dan perwatakan sebenar lelaki itu selari dengan rujukan yang diberikan.

“Saya banyak bertanya kepada ahli keluarga tentang perwatakan Othman. Bermula dari situ, saya mendalami watak tersebut supaya penonton dapat merasai perasaan sebenar lelaki tersebut,” katanya.

Bagi Puteri Aishah pula, pertama kali berlakon filem merupakan satu cabaran apatah lagi bergandingan dengan nama-nama hebat dalam industri filem. Malah watak Thom juga cukup besar untuk dijayakan pelakon baharu sepertinya.

Namun cabaran tersebut digalas dengan penuh iltizam dan dia banyak berguru dengan rakan-rakan artis serta membuat kajian sendiri tentang perwatakan Thom yang sebenar.

“Remy dan cikgu kami, Fauziah Abu Bakar banyak membantu saya. Memang susah dan mencabar kerana watak Thom memerlukan permainan emosi yang mendalam tapi saya cuba untuk beri yang terbaik,” katanya.

Mendapat pujian menggunung menerusi watak Lum, Alvin Wong sebenarnya teruja apabila berpeluang kembali ke dunia perfileman Melayu yang sudah tiga tahun ditinggalkan.

“Sebenarnya melakonkan watak Lum ini cabarannya adalah saya terpaksa melawan penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD) yang dihadapi apabila terpaksa berlakon dengan mayat-mayat yang kotor.

“Mencipta keserasian antara saya dan Remy juga tidak sukar. Ini kali pertama kami berlakon bersama-sama tetapi kami mudah berkerjasama khususnya banyak insiden penting yang berlaku antara saya dan Remy,” katanya.

Pulang ke pasaran dunia

Berbicara dengan pengarah, Kabir Bhatia tentang bagaimana mencipta sebuah karya epik diinspirasikan daripada sebuah kisah yang benar-benar berlaku merupakan cabaran yang perlu dihadapi.

“Kita mempunyai rujukan iaitu anak kepada Othman sendiri, namun pada masa yang sama, kita perlu menambah sedikit warna dengan menyelitkan beberapa babak fiksyen.

“Malah kita juga melakukan beberapa kajian sendiri terutama bagaimana kelasi berpakaian ketika era 1940-an kerana kita tidak mempunyai gambar. Namun sedikit sebanyak kita cuba gambarkan situasi itu,” katanya.

Dalam pada itu, Kabir berkata, Pulang juga bakal menjengah ke pawagam antarabangsa antaranya Australia jika pihak Primeworks selaku penerbit berjaya merealisasikan impian tersebut.

“Kita tidak menolak kemungkinan itu. Saya tahu apabila sesebuah filem itu bagus, penonton juga akan lebih tertarik. Oleh itu, Pulang digarap dengan sebaik yang kita mampu,” katanya.

Ditanya watak yang benar-benar memberi impak, Kabir berkata, Thom merupakan watak yang cukup berat kerana terpaksa berperang dengan kerinduan, kesedihan dan juga emosi sendiri.

“Lum juga adalah satu watak yang sangat menarik kerana semangat setia kawannya. Kita tidak mempunyai rujukan tentang peribadi Lum secara realitinya, namun Alvin berjaya membawa watak itu.

“Malah watak Omar juga sebenarnya agak mencabar untuk dilakonkan kerana dia seorang yang sangat positif. Watak utama seperti Othman juga menuntut penjiwaan yang besar,” katanya yang juga pengarah filem, Bisik Pada Langit.

Dalam pada itu, diminta mengulas cabaran untuk mengarah filem Pulang, Kabir berkata, filem tersebut memberi cabaran dari segenap aspek khususnya babak kapal tenggelam di tengah lautan.

“Babak itu tidak mungkin terjadi jika tiada sokongan daripada kru produksi dan pasukan kesan khas yang sangat profesional. Kita membina bahagian depan kapal dan merobohkannya seperti melanggar batu besar.

“Saya rasa, filem ini berjaya diterjemahkan seperti yang kami gambarkan. Memang ada beberada cabaran, namun semua dapat diatasi kerana bekerja dengan pasukan yang baik,” katanya.