Bagi Adira Suhaimi tiada apa yang lebih membahagiakan tatkala dapat melihat dan membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang meskipun tahu suaminya, Datuk Seri Adnan Abu mempunyai tanggungjawab yang lebih besar.

Mengetepikan apa sahaja kata-kata orang yang masih skeptikal terhadap hidup bermadu, Adira tahu hanya mereka yang melaluinya saja tahu gejolak dan kemanisan yang dihadapi tanpa perlu bercerita kepada yang lain.

“Saya masih sama seperti wanita lain yang bergelar ibu dan isteri yang menjalani kehidupan seperti biasa. Setiap hari saya menguruskan rumah tangga selain bekerja dalam bidang seni.

“Tidak ada apa-apa yang berubah selain perlu mengurangkan kerjaya untuk keluarga. Selebihnya saya hidup sama seperti orang lain,” katanya bercerita.

Pun begitu penyanyi yang popular dengan lagu Ku Ada Kamu ini kurang gembira apabila ada pihak masih bercerita tentang kehidupan peribadinya yang bergelar isteri kedua.

Meskipun perkara berkenaan sudah berlangsung beberapa tahun namun ada pihak yang masih mahu mengorek kisah peribadi dan bagaimana dia menjalani kehidupan sebagai wanita nombor dua dalam hidup lelaki yang mesra disapa dengan panggilan Datuk Red itu.

“Sama ada baik atau sebaliknya, saya lebih suka mendiamkan diri sahaja tanpa perlu menghebahkan kepada umum. Memang betul ada yang cuba mengorek rahsia kami namun bukan semudah itu.

“Kalau orang bertanya secara berhadapan pun, saya akan menjawab apa yang perlu sahaja. Apa yang penting jangan sesekali memuat naik apa-apa status yang boleh mendatangkan tanda tanya ramai,” tambahnya.

Dari satu sisi lain sebenarnya ramai yang menjadikan Adira sebagai contoh wanita yang berani untuk hidup bermadu. Ada yang teruja dengan cara dia menghadapi kecaman dan kata-kata nista yang berterusan diterima.

Tambahnya, semua itu adalah asam garam kehidupan dan dia antara yang ‘beruntung’ kerana diberikan perjalanan hidup sedemikian rupa.

“Selagi kita tak buat salah, mengapa perlu takut? Apa-apa pun perlu ada keberanian dalam menghadapi kehidupan dan ini juga yang berlaku kepada saya.

“Lagi satu jaga rahsia rumah tangga dan jangan sesekali berkongsi masalah kepada umum,” katanya yang bernikah dengan Datuk Red di Songkla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Saingan sengit

Melihatkan industri seni ketika ini, tidak dinafikan yang kebanyakan mereka yang diterima terdiri daripada golongan remaja. Mereka bukan sahaja membawa idea-idea segar tetapi juga mempunyai kelompok peminat yang ramai dalam media sosial.

Digelar Budak-Budak Baru Up (BBNU), pastinya penyanyi lama semakin terhimpit dengan peredaran semasa. Tidak terkecuali, Adira juga merasai perubahan yang berlaku ketika ini.

“Memang benar kebanyakan penyanyi baharu lebih ke hadapan berbanding orang lama. Ini sebenarnya menunjukkan yang industri muzik bergerak dari semasa ke semasa dan beredar mengikut perubahan zaman.

“Mereka menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan lagu atau apa sahaja produk. Untuk orang lama, kita perlu mengikut peredaran semasa agar kekal relevan,” ujarnya.

Walaupun perubahan tersebut berlaku secara mendadak, dia beruntung kerana masih mampu bertahan dan mencari rezeki melalui bidang nyanyian.

Undangan untuknya masih ada dan sehingga ke hari ini dia masih mampu mencari wang dengan menyanyi meskipun tidak sekerap dahulu.

“Selagi kita berusaha percayalah yang rezeki itu tetap akan ada. Saya sendiri bukan lagi dalam fasa untuk berlumba atau mencari populariti.

“Untungnya saya mempunyai kelompok peminat yang setia. Mereka masih ada bersama dan terus memberikan sokongan. Itu sebenarnya sudah cukup untuk memberikan semangat,” katanya.

Tuah Pujaan Hati

Jika dilihat kepada kerjaya seninya, nama Adira sebenarnya agak kurang menonjol setelah bernikah. Namun sejak keluar dengan lagu Pujaan Hati yang menjadi runut bunyi untuk drama Pujaan Hati Kanda, ada sesuatu yang menarik perhatian ramai.

Lagu yang cepat menangkap dan ditambah dengan popular drama lakonan Remy Ishak dan Mira Filzah itu benar-benar memberikan nilai magis kepadanya untuk kembali bersinar seperti dahulu.

“Sejak awal lagi saya memang yakin lagu ini mampu menarik perhatian ramai memandangkan mempunyai melodi yang sedap didengar. Memang besar harapan saya kepada lagu ini pada dasarnya.

“Memang benar lagu yang menjadi runut bunyi drama lebih mudah diterima pendengar. Saya berharap sangat lagu ini akan terus popular seterusnya masuk ke anugerah muzik negara,” katanya penuh pengharapan.

Pujaan Hati yang diciptakan oleh Omar K dan Ikhwan Fatanna sebenarnya sudah dirakam sekitar November tahun lalu. Ketika itu dia masih dalam proses berpantang setelah melahirkan anak kedua, Asan yang lahir pada 9 September tahun yang sama.

Melalui perkahwinan tersebut juga, Adira dikurniakan Anggrek, 1 tahun 9 bulan.

Walaupun kesakitan melahirkan masih bersisa, dia tidak menganggap perkara itu sebagai halangan untuknya memberikan yang terbaik semasa proses rakaman berlangsung.

“Ada beberapa ketakutan yang saya alami ketika lagu tersebut dirakam. Saya risau sekiranya suara tidak dapat dilontarkan seperti mana yang diharapkan memandangkan baru lepas melahirkan anak.

“Cuma untuk high note saya sangat berhati-hati. Apa-apa pun melihatkan sambutan yang diterima memang sangat berbaloi kerana ramai yang menyukai lagu Pujaan Hati,” katanya.