Menurut Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, pihaknya melihat sokongan yang diberikan oleh para penonton terhadap filem ini agak istimewa dan memberangsangkan.

“Walaupun dalam keadaan industri perfileman tempatan yang tidak menentu kini, sambutan ini menunjukkan adunan penceritaan dan aspek teknikal dalam pembikinan filem ini telah diterima dengan baik oleh penonton.

“Kami berharap Polis Evo akan menjadi penanda aras kepada filem tempatan bagi memenuhi selera penonton generasi baru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis Evo yang menggandingkan Shaheizy Sam dan Zizan Razak mula ditayangkan pada 17 September lalu di 98 buah pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei.

Filem bergenre aksi ini mengisahkan dua anggota polis, Khai lakonan Shaheizy Sam dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti berbeza tetapi harus bekerjasama untuk menumpaskan operasi pengedaran dadah. - UTUSAN ONLINE