Namun begitu, tiada siapa sangka buah tangan terbaharu pelakon dan pengarah, Sabri Yunus benar-benar mencetuskan fenomena sehinga tular di pelbagai medium dalam media sosial.

Walaupun telefilem Pok Ya Cong Codei disiarkan pada 21 Januari lalu, petikan-petikan dialog magisnya masih membanjiri ruangan komen yang tidak henti-henti memuji keunikan idea garapan Sabri Yunus.

Fenomena ini membuktikan rakyat Malaysia begitu ‘dahaga’ dengan karya-karya yang segar, bermutu tinggi dan ada kelasnya yang tersendiri.

Telefilem yang mempertaruhkan artis kelahiran Kelantan seperti Mustapha Kamal, Fikry Ibrahim, Uqasha Senrose, Sadi Sabri dan Sabri Yunus sendiri selaku teraju utama ternyata mempunyai identiti yang tersendiri.

Dialek Kelantan yang digunakan dalam telefilem ini langsung tidak menjadi penghalang kepada majoriti rakyat Malaysia yang memiliki siaran Astro Citra untuk menontonnya.

Pok Ya digambarkan sebagai seorang gangster tua namun memiliki aura kehebatan yang tersendiri seperti berani, mempunyai rakan-rakan yang setia serta sering menepati janji.

Kisah bermula apabila Pok Ya diminta mencari seorang anak peniaga yang hilang dan dipercayai telah diculik serta dilarikan ke Kuala Lumpur.

Oleh itu, perkataan Cong Codei terpacul dari mulut Pok Ya apabila dia sebenarnya menginap di Hotel Concorde.

Perkataan Concorde itu tidak disebut dengan dialek Inggeris yang sebetulnya malah Pok Ya dengan yakinnya menyebut nama hotel itu sebagai Cong Codei mengikut kefahamannya.

Tambah-tambah lagi dengan dialog bersahaja mengenai gurauan tentang isteri dan gayanya yang menggigil kesejukan sehingga menutup pendingin udara dengan kain tuala, ia membuatkan penonton tidak kering gusi.

Itu belum lagi pada babak apabila Pok Ya membuat panggilan. Apabila ada yang bertanya di manakah Pok Ya, dengan selamba dia menjawab lokasinya adalah di, “Awas, kenderaan berat keluar masuk.”