Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Kembali ini, dia berpindah ke Jakarta kerana mengikut suaminya, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkifli yang ditugaskan ke republik itu namun dia tidak mempunyai jangka masa tertentu untuk menetap di sana.

“Saya pindah sementara sahaja. Suami kena bertugas di Jakarta. Setakat ini, saya pun tak boleh hendak sahkan berapa lama kami bakal menetap di sini. Cuma anak-anak semua akan meneruskan pengajian di sini.

“Kerjaya seni masih diteruskan. Ulang alik sahaja. Lagipun Jakarta dan Kuala Lumpur taklah jauh mana. Sekarang setiap hari ada penerbangan. Kalau ada tawaran persembahan, saya akan balik,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE di sini hari ini.

Dalam pada itu, Intan juga merancang untuk melancarkan single baharunya selewat-lewatnya selepas Aidilfitri nanti.

“Memang diakui momentum kerjaya seni kini tidak serancak sewaktu mula-mula tamat Gegar Vaganza (GV) tetapi tawaran masih ada. Saya juga akan tampil dengan single baharu tidak lama lagi.

“Memang selepas GV, saya ada lancarkan single tetapi mungkin kurang promosi jadi lagu itu kurang mendapat sambutan. Bagi single yang baharu ini, saya akan rancang strategi yang lebih berkesan,” katanya. - UTUSAN ONLINE