“Saya akui agak memilih dan mengutamakan skrip yang bagus dalam mana-mana karya. Ada tawaran watak yang bagus tetapi skripnya pula kurang memuaskan.

“Misalnya kisah cinta dalam sesebuah karya adalah klise. Namun, apa yang membuatkannya menarik adalah skrip itu sendiri. Begitu juga kalau semua pelakon hebat-hebat tetapi skrip tidak bagus, susah juga.

AMAR ASYRAF

“Saya tidak memilih pengarah muda atau senior. Kalau pengarah baru sekalipun, saya tidak kisah untuk bekerjasama kalau skrip yang diberikan bagus.

“Saya juga berharap pelakon baharu rajinlah baca dan menghayati skrip. Cubalah mempersoalkan skrip yang anda rasa perlu diubah. Anda berhak bersuara. Memang kita terima tawaran kerana duit, tapi perlu juga mempersoalkan watak yang diberikan untuk meningkatkan lagi penghayatan,” jelas Amar Asyraf yang bakal muncul dalam filem Escape bersama Kamal Adli dan Elizabeth Tan.

Dalam masa yang sama, Amar Asyraf sedang menanti kelahiran anak keduanya yang dijangka lahir pada 18 Jun ini. Paling menyeronokkan kerana dia bakal menerima cahaya mata perempuan.

Amar Asyraf yang mengahwini Arna Salleh pada Jun 2013 dikurniakan anak lelaki, Amar Taufiq, 5.

Akur populariti kurang menyengat

Persaingan dari segi bakat dan populariti menjadi antara faktor yang menentukan jatuh bangun seseorang artis.

Ini diakui sendiri oleh pelakon kacak Amar Asyraf, 33, yang pernah mempersoalkan tahap popularitinya. Dia yang pernah berlakon drama bersiri Hingga Hujung Nyawa di TV3 beberapa tahun lalu, mengalami saat turun naik dalam kerjaya.

“Kalau pelakon senior lain pernah berhadapan dengan gelombang kebanjiran pelakon-pelakon baharu, saya turut merasainya. Mahu atau tidak, itulah hakikat yang harus kami terima.

“Saya sering tertanya-tanya dalam diri kenapa saya tidak popular? Saya selalu dapat berlakon drama yang bagus, tapi kenapa tidak popular? Apa sebenarnya ciri-ciri yang perlu ada kalau mahu popular?” luah Amar Asyraf yang pernah bermonolog tentang popularitinya.

Dia akhirnya menemui jawapan yang turut dicari oleh pelakon-pelakon senior yang lain.

“Bila difikirkan balik, kalau saya berlakon drama yang bagus tetapi bukan disiarkan pada waktu perdana, susah juga. Sudah tentu ia kurang memberi kesan kepada nilai populariti seseorang pelakon. Banyak drama saya disiarkan pada masa orang tidak menonton televsiyen.

“ Dari situ saya mula belajar, zaman sudah berubah. Sekarang semua artis perlu aktif dengan laman sosial seperti Instagram kalau mahu terus kekal relevan dalam industri. Ditambah pula saya tidak ada kontroversi untuk menjadi topik perbualan masyarakat.

“Mungkin saya perlu tunggu ramai mati dulu, barulah peluang saya boleh sampai,” katanya berseloroh.

Namun kata Amar Asyraf, dia tidak terkilan tetapi lebih kepada kecewa apabila ada pelakon baharu yang tidak betul-betul memanfaatkan peluang yang diberikan. Mereka diberikan watak utama dalam drama yang bagus dan disiarkan pada waktu perdana, itu peluang yang sepatutnya dihargai.

“Mereka kurang bersungguh-sungguh menghayati watak sehingga nampak lakonan terlalu ‘longgar’. Kepada pelakon baharu hargailah peluang yang diberikan kerana kami tidak berpeluang mendapat watak tersebut, jadi jangan sia-siakan,” kata Amar Asyraf.