Jelas A.Aida, 47, sikap Ariff yang amat rapat dengan ahli keluarga ada persamaan dengan dirinya yang juga akrab dengan adik-beradik. Selain itu, katanya, yang lebih penting, aktor tersebut bukanlah suami orang atau kekasih kepada sesiapa.

“Saya pilih Ariff sebab dia bujang dan saya sendiri tak tahu kenapa, apabila dia cakap sesuatu, saya boleh dengar dan ikut. Saya juga perhatikan dia ini seorang yang suka mengutamakan keluarga. Setiap masa dengan mak sampai makan pun bersuap. Dia juga rapat dengan adik-beradik. Sikapnya itu sama dengan saya yang memang rapat dengan saudara mara.

“Apabila diperhatikan, Ariff seorang yang baik dan saya paling terharu apabila dia kata, ‘sayang, nanti bila kita kahwin, kita solat sama-sama dan pergi gimnasium sama-sama.’ Pendek kata, semua perkara mahu dilakukan bersama-sama. Memang dia minta saya pakai tudung tapi bukan paksaan,” cerita A.Aida kepada Utusan Online.

A.Aida atau Zaidah Awang, bakal melangsungkan pernikahan dengan Ariff atau Wan Izma Ariff Abd. Aziz pada malam esok di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor.

Ini merupakah perkahwinan ketiga bagi A.Aida.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata - Wan Az Aleesa, Wan Azevanatassha dan Muhamad Rahul itu, sebelum hatinya benar-benar terbuka untuk menerima kehadiran Ariff dalam hidupnya, dia pernah mimpi berjalan di tepian pantai dengan pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf dan Misteri Wan Peah itu.

“Sebenarnya Ariff sudah lama bekerja dengan produksi saya tapi saya tak pernah ambil kisah sebab dia jenis pendiam. Dalam ramai-ramai pelakon yang berlakon untuk produksi saya, memang ada kumpulan yang saya namakan Kumpulan Artis Ting Tong termasuklah dia.

“Kami sering keluar dan lepak berramai-ramai tapi biasalah dia bukan jenis yang mulut bising.

“Semasa penggambaran filem Ratu Kala Jengking di Johor, baru-baru ini, pelakon Firman dan Aini Ariffin suka menyakat saya dengan Ariff.

“Apabila difikirkan semula, saya pun bosan dan tiada sesiapa jadi saya pun cuba mengenalinya lebih dekat. Mungkin itu ada kena mengena dengan mimpi saya berjalan dengannya di tepi pantai sebelum ini,” jelasnya.

Bagi A.Aida, perkahwiannya esok adalah satu majlis yang paling indah buat dirinya kerana kali ini dia benar-benar membuat persiapan untuk menyambut hari bahagia sebagai raja sehari. - UTUSAN ONLINE