Sudah acap kali artis tempatan membuat rungutan apabila lagu-lagu mereka kurang dimainkan di corong-corong radio sedangkan masing-masing mencari rezeki dalam bidang ini.

Malah lebih malang, ada sesetengah daripada lagu mereka langsung tidak mendapat perhatian atau diputarkan di stesen-stesen radio atas alasan tersendiri termasuk genre lagu tidak memenuhi kriteria stesen penyiaran selain bergantung kepada cita rasa serta pilihan pendengar.

Memahami senario yang semakin meruncing dalam industri, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengakui, turut terkesan dengan masalah tersebut ekoran pernah mendengar keluhan rakan artis.

Menganggap perkara demikian tidak sepatutnya berlaku, penyanyi lagu Comel Pipi Merah itu berharap agar stesen radio memberi peluang serta membantu penyanyi tempatan membuat promosi.

“Tidak kiralah lagu saya atau orang lain, apabila ada sesuatu single baharu yang dikeluarkan, (pihak) radio diharap dapat memainkan lagu tersebut supaya pendengar menyedari (kemunculan) lagu itu.

“(Ini kerana) itu adalah karya artis kita sendiri. Kalau bukan kita sebagai anak seni yang memajukan ekonomi negara, nak harapkan siapa? Kita (hendaklah) sama-sama membantu antara satu sama lain.

“Bukan setiap masa kita buat album dan kosnya tinggi. Sebab itu ramai penyanyi keluarkan single dahulu, begitu juga saya.

“Jadi saya harap stesen-stesen radio tempatan memberi sokongan kepada artis-artis kita yang menghasilkan karya masing-masing.

“Rasanya tidak perlulah memilih (lagu untuk diputarkan) kerana kita berada dalam lapangan seni yang sama,” katanya.

Beliau ditemui ketika hadir memeriahkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri anjuran Jabatan Pengarang Utusan Malaysia minggu lalu. Pada majlis itu, Siti Nurhaliza turut menghiburkan tetamu dengan beberapa buah lagu.

Kolaborasi penyanyi senior, baharu

SEBAGAI anak seni yang sudah berakar lebih dua dekad di pentas seni, ibu kepada Siti Aafiyah Khalid itu turut mencari strategi lain demi menarik lebih ramai peminat baharu khususnya generasi muda.

Langkah pertama yang dilakukan adalah menjalinkan kolaborasi dengan penyanyi muda popular, Khai Bahar menerusi duet lagu Cinta Syurga pada Ramadan lalu.

Nyata percaturan itu membuahkan hasil apabila ramai memberikan komen positif terhadap kerjasama yang dijalinkan.

Enggan leka dengan populariti lagu itu dan bersandarkan kepada karya tersebut semata-mata, Siti Nurhaliza bakal mengeluarkan single baharu pada September depan.

Merupakan hasil ciptaan penyanyi Hael Husaini, Siti Nurhaliza berkata:

“Saya nak pikat generasi muda. Mungkin anak-anak muda sekarang kurang mendengar lagu-lagu saya. (Oleh kerana) karya Hael sedang meletup, apa salahnya saya mendapat sentuhan daripada anak muda seperti dia.

“Rugilah saya kalau tak rebut peluang yang sudah ada di depan mata. Tak dinafikan apabila penyanyi senior seperti saya dapat berkolaborasi dengan orang muda secara tak langsung mereka boleh dengar lagu saya dan buat carian di YouTube.

“Sebab itu bagusnya ada penyanyi baharu yang kita boleh bergabung. Saya gembira apabila Khai Bahar setuju menyanyi dalam lagu Cinta Syurga.”

Dalam pada itu penyanyi yang popular dengan lagu Jerat Percintaan itu turut menyambut baik kemunculan semula penyanyi senior seperti Liza Hanim, Aishah, Siti Sarah dan Misha Omar dengan lagu-lagu baharu.

“Masing-masing ada perancangan dan mungkin mereka menunggu waktu sesuai untuk kembali dalam arena seni. Contohnya Liza Hanim, anak-anak sudah semakin membesar jadi dia bersedia nak kembali aktif dan muncul dalam pertandingan nyanyian Gegar Vaganza.

“Saya juga memilih berehat selama setahun kerana menjalani fasa kehamilan dan proses bersalin. Sekarang ini barulah saya muncul semula dan berasakan saat ini yang paling sesuai untuk memulakan kembali kerjaya.

“Dan kemunculan semula penyanyi-penyanyi ini satu persaingan yang sihat buat penyanyi senior dan baharu.

“Bagi saya tiada istilah berada dalam kalangan artis baharu akan membunuh perjalanan seni penyanyi senior, malah bagusnya kemunculan penyanyi-penyanyi baharu kerana kita boleh menjalinkan kerjasama untuk menarik lebih ramai peminat,” ujarnya.